Kumpul dana bantu guru PASTI rai sambutan Aidiladha

- Advertisement -

Oleh NUR MARLYANNAH UMAR

LAHAD DATU:
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu menganjur kutipan derma daripada ahli-ahli PAS bagi membantu guru-guru dan kakitangan PASTI dan SRITI sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengerusinya Nizam Latuah berkata, seramai 41 amilin PAS dalam kalangan guru dan kakitangan PASTI serta SRITI menerima sumbangan bakul makanan di samping wang tunai.

Katanya program Semarak Kasih Aidiladha itu bagi meraikan dan memberi penghargaan serta apresiasi kepada semua petugas sepenuh masa PASTI dan SRITI.

- Advertisement -

“Kami amat menghargai komitmen mereka selama ini mendidik anak-anak penduduk tempatan dengan ilmu agama bermula di peringkat prapersekolahan sehingga tahun enam,” katanya pada tersebut semalam.

Turut hadir Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan Muslimat PAS Lahad Datu, Syakinah Syaning.

Menurut Nizam kehadiran Aidiladha Ahad ini sangat menuntut semangat pengorbanan bagi membantu penduduk miskin dan warga pendidik yang banyak berkorban mendidik anak-anak warga tempatan.

Beliau juga berkata, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu akan terus komited dan berusaha membantu amilin PAS dalam aspek kebajikan.

“Ini kerana mereka turut terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian yang berlaku di seluruh negara sekarang,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Daerah Lahad Datu.

Beliau turut berharap semua amilin dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberi dengan lebih bersungguh-sungguh memandang institusi pendidikan PASTI dan SRITI semakin mendapat sambutan masyarakat. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -