Filem Mat Kilau membakar semangat penyatuan ummah

- Advertisement -

BANYAK sudah telah diperkatakan dari hal filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Filem memaparkan keunggulan Mat Kilau, pahlawan Melayu di zamannya sewaktu penjajahan British di Pahang kini telah ditonton ribuan rakyat Malaysia dengan kutipan mencecah jutaan ringgit. 

Jarang ada filem Melayu yang mampu memberi impak sebegini hebat kepada rakyat jelata sejak zaman P. Ramlee, ternyata orang Melayu dan rakyat Malaysia dahagakan filem yang berkualiti dan memiliki unsur yang dekat pada mereka.

Bagi saya ramai yang menonton filem ini keluar dengan secebis keinsafan di dada. Mereka bukan sekadar telah menonton epik sejarah perjuangan pejuang tanah air, tetapi mereka sedar apa yang mereka saksikan dan dengar sepanjang tayangannya banyak boleh dikaitkan dengan suasana kehidupan semasa.

Benar kita bukan lagi duduk di bawah cengkaman penjajah. Tiada lagi kuasa Inggeris yang menekan dan memeras kita. Tetapi apa yang wujud di zaman Mat Kilau dan Tok Gajah itu rupa-rupanya terus diwarisi hingga ke hari ini, tak selesai dan tidak berupaya lagi diatasi sampai ketika ini.

Ianya adalah isu perpecahan umat Melayu dan kegagalan untuk bersatu dan bermuafakat. Suatu kegagalan besar hasil kedegilan pimpinan ummah yang pasti akan membawa kerugian buat semua sebagaimana dilalui di zaman Mat Kilau dan Tok Gajah jika tidak diuruskan dengan cermat dan sebaik-baiknya.

“Orang Melayu tidak akan menang, orang Melayu suka pecah belah,” demikian dialog diungkapkan Captain HC Syers Ketua Polis yang ditugaskan penjajah untuk berhadapan dengan Mat Kilau dan para pejuang Melayu ketika itu di dalam filem berkenaan.

Kerana itulah filem ini bukan sekadar diharapkan dapat capai rekod ‘boxoffice’ luar biasa dan keuntungan buat penerbit dan pembikinnya semata-mata, tetapi lebih penting ia sewajarnya membangkitkan kesedaran dan menyuntik semangat di kalangan umat Melayu dewasa ini agar tidak mengulangi kesilapan yang lampau dengan memperbaiki keadaan yang ada agar menempa kejayaan dan kegemilangan sebenar sebagaimana dijanjikan.

Kita tidak boleh nafikan jika di zaman Mat Kilau dahulu usaha untuk menyatupadukan umat, bermuafakat membina kekuatan bagi menghadapi musuh yakni penjajah Inggeris, digagalkan oleh beberapa kalangan dan kerat yang tidak yakin dan lebih cenderung bekerjasama dengan musuh kerana mahu pilih jalan mudah, hari ini juga begitu.

Kiranya di zaman Mat Kilau dahulu bersatu dan bermuafakat rakyat Pahang pasti Inggeris akan lari meninggalkan bumi bertuah itu sebagaimana penjajah Inggeris pernah lari meninggalkan Afghanistan satu ketika dahulu di sekitar 1880-an.

Filem Mat Kilau mengisahkan mengenai kewajaran umat Melayu bersatu menghadapi musuh yakni penjajah Inggeris, dan penyatuan anak-anak Pahang ketika itu diseru bertunjangkan kekuatan agama. Sehingga disebut; “Hendak mencari kekuatan carilah Allah”.

Sumber kekuatan umat Melayu dan ummah sejagat sampai bila-bila sesungguhnya adalah apabila mereka bertaut kuat pada agama.

Ini dinyatakan dalam dialog filem berkenaan: “Orang Melayu mulia bukan kerana adat, kesultanan atau budaya. Tapi mulia kerana akidah dan ketaqwaan kepada Allah.” 

Kerana itu sampai bila-bila pun selagi kita tidak serius berusaha ke arah membina kekuatan penyatuan sebagaimana diperintah Allah S.W.T di dalam surah Ali Imran ayat 103 maka selagi itulah kita akan gagal dan bangsa Melayu akan berpecah-belah.

Almarhum Prof Dr Hamka, di dalam ‘Tafsir al Azhar’nya ketika menafsirkan ayat ini menyebut:

“Di sini tampak pentingnya jemaah. Berpegang pada tali Allah sendiri-sendiri tidaklah ada faedahnya. Kalau tidak ada persatuan (penyatuan) di antara satu dengan yang lain.”

Tambah Almarhum lagi: “Dengan sebab persamaan kerana takwa ini timbullah kekuatan yang besar. Lalu datang lanjutan ayat, “Dan ingatlah olehmu nikmat Allah atas kamu seketika kamu sedang bermusuh-musuhan telah dijinakkan Nya antara hati mau masing-masing”. Itulah satu nikmat paling besar. Sebab perpecahan, permusuhan dan berbenci-bencian adalah sengketa dan kutuk yang sangat menghabiskan tenaga jiwa.”

Terbukti dalam sejarah para pejuang dan pimpinan Melayu silam sering berhadapan dengan isu kegagalan membentuk kesatuan dan penyatuan ini. Lebih sedih lagi mereka berhadapan pula dengan pengkhianatan oleh sesama sendiri.

Tersohor dalam lipatan sejarah Melayu inilah puncanya setiap ketika, sama ada di Melaka, Perak di zaman Datuk Maharajalela, di Kelantan sehingga syahidnya Tok Janggut dan banyak lagi.

Jika tidak tiadalah Mat Kilau lari dari kampung halamannya, bukan kerana takut berhadapan dengan penjajah British tetapi angkara pengkhianatan yang datang dari pelbagai penjuru.

Jangan kita sekadar melelehkan air mata, sedih menonton dan berdebar dada bersemangat setelah menyaksikan filem ini. Apa yang lebih penting kita kutip ilmu dan pengajaran dari pengalaman yang dilalui mereka yang terdahulu termasuklah Mat Kilau.

Mereka telah melalui zaman mereka dengan kudrat dan keupayaan mereka, mereka berjuang menumpahkan darah dan air mata dan kini menunggu pembalasan sewajarnya dari Maha Pencipta. Kita yang mewarisi perjuangan ini pastikan yang jalan ke hadapan yang bakal kita rintis tidak akan seumpama mereka.

Jadikan pengalaman mereka sebagai tauladan dan sempadan buat kita. Tidak Melayu hilang di dunia, tetapi syaratnya kembalilah pada agama. Kesatuan dan penyatuan ummah, permuafakatan sesama kita hanya akan berjaya menepati janji Allah S.W.T kiranya kita bersama membina kekuatan berteraskan aqidah.

Kita masih belum terlambat, tetapi masa tidak akan menyebelahi kita kiranya kita tidak berusaha dan berikhtiar. Islam adalah kunci perpaduan lantas gerakkanlah ia ke arah itu sehingga kembali gemilang bangsa dan agama.

Perjuangan mereka belum selesai. Biar kita tebus perjuangan mereka yang terdahulu termasuklah Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lain dengan kemenangan yang dijanjikan. Segalanya terletak atas kita.

Renunglah sedalam-dalam dialog dalam filem ini: “Kalau beragama jangan sekadar pakaiannya (syariat) biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat) kalau belajar jangan sekadar ilmunya (feqah) biar tentu kukuh juga adabnya (tasawuf) kalau beramal jangan sekadar ayatnya (zahir) biar tentu juga berbulat dengan rahsia Nya (batin)”

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -