Pokok besar di kawasan zon penampan masih ada

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Sepanjang aliran air yang turun dari Gunung Inas terdapat kesan runtuhan, namun pokok-pokok besar di kawasan zon penampan masih ada.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pokok-pokok tidak ditebang ketika kawasan itu dibersihkan untuk pembangunan ladang hutan.

“Tinjauan udara sekitar Gunung Inas memberi fokus di kawasan bencana untuk meninjau secara menyeluruh termasuk aliran air sehingga ke kawasan tanaman Musang King yang dikaitkan punca fenomena terbabit.

- Advertisement -

“Aliran deras berpunca dari sumber air yang terkumpul begitu banyak dalam satu masa di Gunung Inas dipercayai menjadi punca banjir kilat dan kejadian kepala air di Kampung Iboi, Isnin lalu,” katanya selepas membuat tinjauan udara menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang semalam.

Sanusi berkata, air yang terkumpul begitu banyak mengalir melalui puluhan lorong yang curam sebelum bertakung secara serentak di Lata Celak di kampung berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau kolam takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King masih ada dan tidak pecah.

Menurutnya juga punca kejadian tersebut merupakan kesimpulan awal yang dibuat sebelum laporan rasmi daripada agensi dan jabatan berkaitan diperolehi.

Kejadian kepala air 4 Julai lalu meragut tiga nyawa selain menghanyutkan 15 rumah dan 14 rosak teruk. Banjir lumpur dikatakan berpunca kejadian kepala air di Kampung Iboi sehingga menjejaskan 12 kampung membabitkan 627 penduduk. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -