PDRM laksana Op Lancar sempena Aidil Adha

- Advertisement -

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui pendekatan ‘Op Lancar’ akan memberi fokus kepada kelancaran aliran trafik sempena Hari Raya Aidil Adha pada 10 Julai 2022. Op Lancar akan bermula dari 8 Julai 2022 sehingga 11 Julai 2022, ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota selepas berhari raya.

PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengenal pasti kawasan-kawasan hotspot yang dijangka sesak dan akan mengaturkan seluruh kekuatan petugas di lapangan termasuk melibatkan elemen keanggotaan balai, kereta peronda (MPV) serta unit rondaan bermotosikal (URB) secara sistematik bagi memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandaran bergerak lancar dan terkawal.

Selain itu, rondaan cegah kemalangan dan omnipresent di lokasi turut dijalankan termasuk pendekatan pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

Pengguna jalan raya disarankan untuk merancang perjalanan dan peka dengan informasi aliran trafik semasa. Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

Melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan terjamin bagi merayakan Aidil Adha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera.

(DATO’ NOORSIAH MOHD SAADUDDIN) DCP
Setiausaha Polis Malaysia
Polis Diraja Malaysia – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -