Operasi ATV diselaraskan bersama MBK secara harmoni

- Advertisement -

PENGUSAHA ATV perlu memiliki permit operasi dan menyediakan petugas marshal keselamatan. Itu antara syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan dipersetujui oleh para pengusaha ATV dalam satu pertemuan pagi semalam. 

Ia diatur oleh pejabat saya bagi menemukan semua pengusaha ATV dalam DUN Beserah bersama pihak MBK. Turut hadir Penghulu Mukim Beserah dan dan ketua-ketua kampung di kawasan-kawasan terlibat.

Antara syarat utama lain termasuk: 

1. Mempamerkan permit yang diluluskan.

2. Menetapkan dan menanda had kawasan atau sempadan dan laluan ATV.

3. Mendaftarkan kenderaan-kenderaan ATV untuk tujuan mengenalpasti pemegang permit. 

4. Menyediakan penanda khas bagi setiap kenderaan ATV. 

5. Melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan ATV. 

6. Pengusaha digalakkan memiliki insurans kemalangan dan public liability

7. Tidak menimbulkan kacau ganggu (keselamatan, bunyi bising atau pencemaran) kepada tempat operasi dan orang awam. 

Kesemua syarat yang ditetapkan ini bertujuan menjamin keselesaan dan keselamatan orang ramai sama ada pelanggan ATV atau pengunjung pusat-pusat riadah dan rekreasi. 

Semua pihak mencapai persefahaman dan persetujuan bahawa keselamatan orang ramai adalah perkara utama yang perlu ditangani dan diberi perhatian pada setiap masa. 

Saya bersyukur dan berpuashati dengan hasil daripada pertemuan yang diadakan. 

Semua pihak berpeluang menyuarakan pandangan masing-masing dan perkara-perkara yang menjadi pertikaian dan salah faham dapat dibincangkan secara harmoni. 

Kepentingan awam sentiasa menjadi keutamaan saya dalam semua perkara. 

Dalam masa yang sama, saya juga melihat keperluan untuk menjaga periuk nasi para pengusaha atau peniaga kita.

Begitu juga dengan syarat dan peraturan oleh pihak berkuasa yang perlu dipatuhi dan dihormati. 

Kerana itu saya sentiasa percaya jalan pertemuan dan perbincangan adalah pendekatan yang terbaik untuk menangani sesuatu perkara agar kepentingan semua pihak dapat difahami bersama dan dibincangkan penyelesaian terbaik. 

Terima kasih kepada Encik Nassri Mat Hussin, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan MBK, Encik Shahrul Azlan Abd Rahim, Ketua Jabatan Undang-undang dan Penguatkuasaan MBK, Tok Penghulu Nasaruddin, Mukim Beserah, kesemua ketua-ketua kampung serta para pengusaha yang hadir. 

Adalah menjadi harapan yang tinggi di pihak saya pertemuan semalam menjadi titik tolak kepada persekitaran pusat-pusat riadah dan rekreasi yang lebih selamat dan mesra pengunjung serta peniaga khususnya di pantai-pantai tumpuan awam di daerah Kuantan khususnya dalam DUN Beserah.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!