MAFI galak petani, nelayan jualan terus kepada pengguna

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Timbalan Menteri Pertanian II, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh galakkan para petani dan nelayan menjual sendiri hasil mereka kepada pengguna untuk mengelak daripada pihak tengah mengaut keuntungan dan seterusnya memberi kesan kepada pembeli runcit. 

“Agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga telah melaksanakan program jualan terus kepada rakyat dan kesannya hasil sayur tersebut dibeli dengan harga murah kepada pengguna,” katanya kepada media selepas melabuhkan tujuh tukun tiruan di Pelabuhan LKIM Tok Bali, Isnin lalu.

Beralih kepada usahawan perikanan pula, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa menyokong usaha Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membuat pembelian terus ikan-ikan tersebut untuk dijadikan stok penimbal dalam usaha untuk membantu menstabilkan harga bahan mentah dan secara tidak langsung dapat menjamin sekuriti makanan negara. 

“Nelayan-nelayan yang ada ini, boleh mencontohi usahawan petani yang telah berjaya, mereka ini menggunakan pelbagai platform digital bagi memasarkan produk pertanian mereka kepada umum.

Dengan menggunakan teknik tersebut, mereka boleh mempromosikan hasil tangkapan untuk dijual kepada pengguna atau pembeli seterusnya dapat meningkatkan hasil pendapatan keluarga,” ujarnya. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -