Perlu Sidang Khas Parlimen selesai kenaikan harga barang

- Advertisement -

INFLASI global dunia barangkali punca utama kepada penarikan subsidi yang membawa kesan akibat kenaikan harga barang di Malaysia. Dalam soal ini pastinya yang paling terkesan adalah rakyat kebanyakan. Mudah kata semua golongan terkesan.

Justeru Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan bersama denyut nadi rakyat dalam membawakan isu ini ke arah penyelesaian saksama, rakyat dan kerajaan. 

PAS pastinya telah menyeru agar Sidang Khas Parlimen bagi membincang dan mencari solusi bersama dalam isu rakyat ini. Pemuda PAS Negeri Kelantan juga tidak berdiam diri dan menyokong seruan ini. Ketepikan soal politik seketika dan duduk bersama untuk merangka dasar dan hentikan menuding salah itu dan ini.

Justeru Pemuda PAS Kelantan juga mencadangkan jawatankuasa semak imbang penggunaan dana yang dijimatkan akibat penarikan subsidi diperkasakan agar wang tersebut dapat disalurkan kembali kepada rakyat secara bersasar.

Sayugia pelan penggunaan wang subsidi yang dijimatkan perlu diperincikan agar tidak berlaku pembaziran dan penggunaan kepada program-program yang tidak sepatutnya.

Selain menfokus bantuan kebajikan rakyat terbanyak B40, kebajikan M40 juga perlu diberikan perhatian melalui suntikan dan insentif munasabah. Kebajikan sektor pendidikan, kesihatan malahan ahli korporat juga tidak boleh diabaikan.

Menafikan 100 peratus hak T20 dalam isu subsidi juga perlu dinilai semula dengan membuka ruang dan peluang saksama mengikut keperluan masing-masing. Ini kerana mereka merupakan pembayar cukai terbanyak, dan tidak boleh disisihkan dalam arus kenaikan harga barang. Seluruh rakyat dalam semua kategori perlu disantuni dalam melawan inflasi.

Turunkan harga barang dan sama-sama kita atasi inflasi.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -