Operasi menyelamat mangsa bencana Baling ditamatkan

- Advertisement -

SELEPAS tiga hari, operasi menyelamat mangsa banjir di Baling, Kedah secara rasminya ditamatkan hari ini.

Alhamdulillah. Tindakan pantas #WiraMerah menggerakkan kekuatan anggota di tahap optimum sejurus menerima pemakluman kejadian banjir berjaya menyelamat dan memindahkan 499 mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kesemua mangsa terdiri daripada 109 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS; PPS SM Jerai (164 mangsa), SMA Yayasan Khairiah (78 mangsa) dan Surau An Nur Taman Mesra (257 mangsa).

Bagi memastikan mangsa dapat pulang ke kediaman mereka pada kadar segera, saya telah mengarahkan pasukan bomba bersama PBS (Pasukan Bomba Sukarela) untuk mula melaksanakan operasi pembersihan jalan dan kawasan rumah penduduk terjejas.

Saya akan pastikan pengurusan pasca banjir yang digerakkan agensi-agensi berkaitan di bawah KPKT ini akan dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama rapat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Saya juga mengucapkan penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri yang peka dengan situasi dialami mangsa menerusi pengumuman Bantuan Segera Untuk Mangsa Banjir Baling biarpun kini sedang sibuk dengan rangka lawatan rasmi ke Türkiye.

Saya mewakili #KeluargaMalaysia mengucapkan terima kasih kepada komitmen anggota penyelamat khususnya pasukan bomba dan agensi berkaitan terdiri daripada PDRM, RELA, SAPURA, PBS, APM dan badan sukarela.

YB DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -