Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Operasi bantuan Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan diteruskan kepada mangsa banjir dan kepala air di Kupang, Baling sehingga Jumaat ini.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil, operasi pembersihan rumah (Ops Cuci) mangsa banjir merupakan fokus utama Khidmat Malaysia yang diselaraskan Jabatan Amal Malaysia (JAM).
Katanya, sehingga kini seramai 350 orang anggota turun bertugas sejak Isnin dan dijangka semakin bertambah sehingga Jumaat.
“Semua petugas dan sukarelawan diminta melaporkan diri ke Bilik Operasi Khidmat Malaysia kawasan Baling serta dikehendaki mengikut arahan bilik operasi sepanjang waktu bertugas di kawasan bencana.
“Setiap kumpulan petugas dinasihatkan membawa peralatan sesuai dan mencukupi dengan tugasan mencuci memandangkan keadaan bencana banjir yang berlumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Khairul Faizi, antara peralatan yang diperlukan dalam Ops Cuci adalah peralatan mencuci, water jet, water pump dan tangki air mudahalih.
Tambahnya, bantuan barangan keperluan seperti dapur, tong gas, tilam, makanan dan minuman yang hendak disumbangkan mestilah mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Negeri Kedah, serta berhubung dengan Bilik Operasi Khidmat Malaysia Baling.
Sementara itu katanya, Khidmat Malaysia telah melantik Penyelaras Operasi Bencana, Mejar (B) Mansur Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil.
Manakala, Ketua Bilik Operasi Khidmat Malaysia Baling digalas oleh Ustaz Amin.
Dalam perkembangan sama, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan operasi menyelamat mangsa banjir ditamatkan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada 109 keluarga kini ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu, PPS Sekolah Menengah Jerai (164 mangsa), Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah (78 mangsa) dan Surau An Nur Taman Mesra (257 mangsa).
Tambah beliau, bagi memastikan mangsa dapat pulang ke kediaman mereka pada kadar segera, beliau telah mengarahkan pasukan bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk mula melaksanakan operasi pembersihan jalan dan kawasan rumah penduduk terjejas.