Menang besar 95-0 dan 91-1, kelab bola sepak Sierra Leone kena siasat

Rakyat Sierra Leone memberi sokongan kepada pasukan bola sepak kebangsaan negara itu.
- Advertisement -

Persatuan Bola Sepak Sierra Leone (SLFA) sedang menyiasat keputusan dua perlawanan yang sukar dipercayai dengan jumlah jaringan sebanyak 187 gol.

Dua perlawanan divisyen dua menyaksikan Kahunla Rangers yang berpangkalan di Kenema dan Gulf FC dari Kono menewaskan lawan setempat mereka dalam kelayakan Liga Perdana, Ahad lalu.

- Advertisement -

Kahunla menewaskan Lumbebu United 95-0 dan Gulf FC membelasah Koquima Lebanon 91-1, menjadikan dua kemenangan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah bola sepak Sierra Leone.

Bagaimanapun, keputusan separuh masa kedua-dua perlawanan hanya 2-0 dan 7-1. Kedua-dua keputusan perlawanan dibatalkan kerana disyaki manipulasi perlawanan.

“Kami tidak boleh berdiam diri dan melihat situasi memalukan seperti ini tidak dihukum,” kata Presiden SLFA, Thomas Daddy Brima kepada BBC Sport Africa.

“Kami akan melancarkan siasatan dengan segera dan mengheret semua pihak yang bertanggungjawab menyebabkan perkara mengarut ini berlaku.

“Semua yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang SLFA dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sierra Leone,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kahunla Rangers mengutuk sekeras-kerasnya kelakuan yang tiada semangat kesukanan, manakala Pengurus Besar Lumbebu, mendakwa tidak mengetahui sebarang manipulasi perlawanan.

Sementara itu, Pengerusi Koquima Lebanon mendakwa perlawanan membabitkan pasukannya adalah perlawanan persahabatan. Pegawai Gulf FC pula enggan mengulas.

SLFA pula menyatakan akan menyiasat pemain dan pegawai empat kelab berkenaan, pegawai perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Wilayah Timur.

Selain itu, persatuan bola sepak negara itu menegaskan tidak akan bertoleransi terhadap perbuatan manipulasi perlawanan di negara Afrika Barat itu dengan mematuhi peraturan badan induk dunia, FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Pesta gol separuh masa kedua

Kahunla Rangers dan Gulf FC mempunyai jumlah mata yang sama dan bersaing untuk merebut baki tempat bagi Wilayah Timur dalam Liga Super 10 Kebangsaan yang berfungsi sebagai fasa kelayakan terakhir untuk layak ke Liga Perdana.

Kedua-dua perlawanan itu berlangsung serentak. Keadaan berubah secara dramatik sepanjang babak kedua dengan pasukan yang mempunyai perbezaan gol lebih baik akan layak. Kahunla kemudian menjaringkan 93 gol dan Gulf menjaringkan 84 gol.

Ketua Pegawai Eksekutif Kahunla, Eric Kaitell, mengutuk pasukannya dan tiga pihak lain yang terlibat di media sosial.

“Saya memohon maaf kepada peminat bola sepak negara ini dan seluruh dunia kerana keputusan perlawanan ganjil kelab saya, Kahunla Rangers,” katanya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya mengutuk sekeras-kerasnya tingkah laku tiada semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pasukan saya dan pasukan lain yang terlibat.

“Satu jawatankuasa juga ditubuhkan untuk menyiasat seluruh pasukan, termasuk kakitangan teknikal dan sesiapa saja yang mahukan keputusan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/22

Fakta perlawanan

Separuh masa pertama
Kahunla Rangers 2 – 0 Lumbebu United
Gulf FC 7 – 1 Koquima Lebanon

Separuh masa kedua
Kahunla Rangers 93 – 0 Lumbebu United
Gulf FC 84 – 1 Koquima Lebanon

Keputusan penuh
Kahunla Rangers 95 – 0 Lumbebu United
Gulf FC 91 – 1 Koquima Lebanon

- Advertisement -