KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui agensinya, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) terus bertindak pro aktif membantu warga tani di Kelantan mengatasi isu kenaikan harga bekalan makanan ternakan dengan menyediakan makanan alternatif yang diproses secara organik.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata Kerajaan Negeri sangat peka terhadap situasi kenaikan harga barang yang turut menjejaskan keupayaan petani menyimpan stok dedak ternakan ruminan, ayam dan ikan.
Menurutnya, empat badan bukan kerajaan (NGO) dipilih sebagai konsortium untuk membuat, memproses dan membekal makanan alternatif secara organik kepada penternak ayam dan ikan di seluruh Kelantan.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 untuk memperkasakan pertanian organik di Kelantan. Sebagai permulaan, empat NGO dipilih menjadi pelopor menerima sumbangan RM10,000 untuk setiap persatuan.
“KPKB dan Jabatan Pertanian Kelantan akan memantau proses mereka menyediakan secara kolektif penghasilan makanan ayam dan ikan berasaskan bahan organik seperti azola, jagung, ketum ayam, serbuk cendawan dan daun remunggai (moringa) serta banyak lagi sisa dapur yang boleh diformulakan menjadi makanan ternakan melalui teknik kitar semula.
“Di samping itu, ahli persatuan juga disaran menggunakan dana tersebut untuk mengembangkan hasil pertanian atau penternakan yang sedang mereka usahakan secara organik,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Semarak Organik Al Falah (SOF) Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Kacip Fatimah, Bangunan FAMA, RTC Bandar Baru Tunjong, semalam.
Beliau turut menyampaikan replika cek Projek Khas Kebun Organik Berkelompok Al Falah kepada wakil persatuan NGO terpilih iaitu Persatuan Pertanian Alami Kelantan (ALAMI), Persatuan Usahawan Organik Kelantan (PUOK), Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam Kelantan (PUNCAK) dan Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA).
Turut hadir, Timbalan Exco Pertanian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Jelawat YB Abdul Azziz Kadir. – UPKN
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!