Kedah bayar sewa rumah 29 keluarga tragedi kepala air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Kerajaan negeri akan menyediakan penempatan sementara dan membayar kos sewaan rumah kepada 29 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi kepala air, Kampung Iboi, Isnin lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, laporan terkini merekodkan 29 rumah terbabit pada kejadian tersebut, di mana 15 daripadanya terjejas teruk, manakala 14 mengalami kerosakan.

“Kerajaan negeri akan menyediakan penginapan sementara dan membayar sewaan selama enam bulan sementara rumah gantian siap didirikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di Pejabat Daerah Baling di sini, hari ini.

- Advertisement -

Selain itu menurutnya, bantuan kerosakan kecil yang dialami oleh penduduk lain sedang diusahakan.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, kebanyakan rumah yang hanyut dibawa arus deras dalam kejadian 4 Julai lalu didirikan di tanah rizab kerajaan dan tidak mempunyai hak milik.

“Sekiranya penduduk terbabit mempunyai tanah di tempat lain, gantian rumah mudah untuk diproses cuma mengambil masa agak lambat. Namun saya berharap semua proses berjalan cepat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau mengalu-alukan bantuan dan sumbangan dari syarikat dan individu yang disalurkan melalui Kedah Care untuk membantu mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucap terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas sokongan menghantar sukarelawan membantu mangsa banjir di Baling.

Namun beliau mengharapkan operasi membersih serta mencuci perlu ditumpukan kepada 12 kampung yang terlibat dan tidak hanya di lokasi tertentu sahaja.

Sehingga kini, 12 kampung membabitkan 627 penduduk terjejas akibat kejadian kepala air, Kampung Iboi, dua hari lalu. – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -