UniMAP bantu kerajaan urus sisa pepejal secara efisien

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif membantu kerajaan bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang mempunyai kos efektif dan efisien.

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pengurusan sisa pepejal merupakan perkhidmatan asas bagi memastikan tahap kebersihan dan kesihatan penduduk terjaga di samping sebagai langkah ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Katanya bagi menjayakan hasrat itu UniMAP mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan E-Idaman pada 2019 bagi mewujudkan Makmal Penyelidikan UniMAP-E-Idaman serta penempatan Mesin Pencernaan Anaerobik (AD50).

- Advertisement -

“Mesin tersebut membolehkan sisa makanan berkapasiti 50 kilogram diproses sehari dan menghasilkan 5m3 bio-gas untuk tujuan memasak dan bio-kompos diproses,” katanya selepas majlis MoU dengan E-Idaman di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di sini semalam.

MoU berkenaan dimaterai bagi meningkatkan hubungan dalam latihan dan penyelidikan bersama.

Pada majlis Dr Zaliman mewakili UniMAP, manakala E-Idaman diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Zaki Abdul Aziz Daud.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) Prof Madya Dr Afizah Ayob.

Beliau juga berkata, MoU berkenaan dapat membantu antara satu sama lain untuk mendapatkan pembiayaan daripada sumber luar, di samping menggalakkan aktiviti penyelidikan bersama.

“MoU yang ditandatangani tersebut akan diteruskan sehingga lima tahun akan datang sekaligus memberi peluang kedua-dua pihak berkongsi kemudahan dan kepakaran teknikal,” katanya.

Penyelidik yang terlibat dalam MoU terbabit iaitu Timbalan Dekan Penyelidikan & Pasca Siswazah FTKA, Prof Madya Ts Dr Irnis Azura Zakarya selaku ketua projek, Pengarah Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) Prof Madya Ts Dr Siti Khadijah Zaaba dan Dr Tengku Nuraiti Tengku Izhar. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -