Tiga mangsa banjir lumpur ditemukan

Kredit foto: UPDA
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Tiga mangsa yang hilang dibawa arus deras kepala air di Kampung Iboi semalam ditemui mati kira-kira 100 meterdari tapak rumahnya yang dihanyutkan air.

Tiga mangsa berkenaan, Salmah Mat Akib, 53, anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14, dan menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dijumpai oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah timbunan reba dan kayu sebelum mereka dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau juga menerima pengesahan JBPM, tiada lagi laporan kehilangan saudara mara mahupun kenalan di semua kampung yang terlibat yang diterima setakat ini.

- Advertisement -

“Oleh itu sehingga ini JBPM mengesahkan banjir kilat dan kejadian kepala air di daerah Baling yang berlaku semalam melibatkan 12 kampung membabitkan 627 mangsa dan tiga kematian,” jelas beliau pada sidang media yang diadakan Pusat Media Banjir Kampung Iboi, hari ini.

Kejadian banjir kilat dan kepala air di Kampung Iboi itu juga telah mengakibatkan sembilan buah rumah dihanyutkan arus deras, lima buah rosak teruk dan sebahagian besar dimasuki air serta mengalami kerosakan harta benda.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri akan membantu menyediakan penempatan sementara kepada sembilan keluarga terbabit sementara menunggu rumah gantian siap.

“Sekiranya penduduk yang terlibat mempunyai tapak rumah yang selamat adalah lebih baik tetapi kerajaan tidak bersetuju didirikan di tapak asal kerana sungai sudah semakin cetek, dibimbangi berlaku musibah yang sama keadaan akan menjadi lebih teruk lagi,” ujar beliau.

Sementara hasil dari penilaian beberapa agensi berkaitan, kerosakan fizikal akibat akibat bencana itu juga melibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Pecah Bendang, runtuh dan beberapa jalan didapati rosak.

Selain itu, rakaman gambar melalui udara oleh JBPM, kata Sanusi mendapati kejadian di Baling itu menyamai fenomena di Gunung Jerai 18 Ogos tahun lalu.

Katanya, aliran air tersekat akibat timbunan reba dan pokok serta berkumpul menjadi banyak sehingga membentuk kepala air berikutan berlaku hujan lebat petang semalam.

“Saya melihat tandak air masyarakat di lokasi berkenaan masih ada namun tertimbus oleh pasir dan tandak air yang digunakan oleh pengusaha durian musang king di Gunung Enas juga tidak pecah,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, kata beliau adalah tidak adil mengaitkan kejadian itu berpunca daripada tebangan pokok oleh pengusaha durian di Gunung Enas sebelum hal itu dapat disahkan secara saintifik.

Sebelum ini pada 2020, beliau telah mengarahkan pengusaha menanam tanaman tutup bumi di kawasan yang digondolkan namun kemungkinan tanaman terbabit tidak mampu menyerap air yang terlalu banyak.

“Kita akan tengok hal ini kemudian tetapi untuk mengaitkan kejadian ini dengan ladang musang king itu adalah tidak adil sebelum ia dapat disahkan secara saintifik,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -