Tidak untung punca pawagam ditutup di Kelantan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Tentunya ramai masih ingat pada era 1980-an terdapat beberapa panggung wayang gambar (pawagam) di Kota Bharu dan beberapa bandar lain di Kelantan.

Antaranya Panggung Lido, Odean, Rani dan Rex dikenal ramai di Kota Bharu sebelum ini.

Panggung Lido terletak di Jalan Post Office Lama merupakan panggung wayang terakhir beroperasi di Kota Bharu sehingga 1996 sebelum dirobohkan pada 1997.

Malah Pejabat Perhubungan Umno Kelantan difahamkan diubahsuai daripada panggung wayang selepas dijual pemiliknya.

- Advertisement -

Namun panggung wayang semakin suram selepas kerajaan negeri diterajui PAS memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan 1998 sebagai usaha mengekang gejala sosial.

Namun pawagan masih dibenarkan beroperasi dengan syarat dan garis panduan ketat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya pengasingan tempat duduk mengikut jantina dan larangan tayangan pada waktu solat.

Bagaimanapun isu pawagan muncul semula selepas filem Mat Kilau ‘pecah panggung’ apabila mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Ekoran itu ada pihak yang mahu kerajaan negeri membenarkan pawagan beroperasi semula di Kelantan.

Seorang penduduk dari Kota Bharu Zainul Amin Mat Zin berkata, beliau tidak setuju pawagam dibuka semula di Kelantan selepas lebih 30 tahun ditutup.

“Hiburan selain wayang sudah terlalu banyak sekarang. Di setiap rumah sudah ada kemudahan untuk mendapat hiburan. Bahkan dalam poket setiap orang pun dah ada hiburan.

“Pada tahun 1990-an bukan kerajaan yang tutup wayang cuma berlaku kemerosotan penonton menyebabkan pengusaha wayang tidak mendapat pulangan.

“Ibu bapa bimbang sekiranya ada semula panggung wayang dikhuatiri berlaku peningkatan gejala sosial. Dalam keadaan tiada pawagan pun masalah sosial sudah sukar dibendung,” katanya di sini.

Menurutnya juga wayang bukan satu keperluan, sebaliknya ia hanya sekadar kehendak.

Kata beliau kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat ke arah pembinaan siasah, akhlak dan jati diri anak muda.

Bagaimanapun Ahmad Nadzirin Mat dari Bachok ingin kepastian mengapa pawagan tidak dibenarkan beroperasi di Kelantan.

“Saya tidak tahu alasan kenapa pawagan tiada di Kelantan. Atas sebab suasana dalam pawagan ke, filem yang ditayang ke,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -