Shihana Alazzaz, Timbalan Setiausaha Agung wanita pertama kabinet Saudi

Shihana Alazzaz mulai terjebak untuk meminati dunia guaman dan undang-undang mahkamah sejak berusia 16 tahun lagi. (FOTO Saudi Gazette)
- Advertisement -

Susunan NORHANA MAT ZIN

JEDDAH: Buat pertama kali, penjaga dua masjid suci Raja Salman telah melantik seorang wanita, Shihana Alazzaz sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Menteri Saudi pada Isnin.

Baru berusia 26 tahun, Alazzaz telah berkhidmat sebagai setiausaha agung dan peguam agung Lembaga Pengarah Dana Pelaburan (PIF) Saudi sejak Ogos, 2018. 

- Advertisement -

Sebelum itu, menurut laporan Saudi Gazette, beliau telah menyertai PIF sebagai ketua urus niaga di bahagian undang-undang pada 2017. 

Alazzaz  juga merupakan ahli jawatankuasa pengurusan PIF dan jawatankuasa eksekutif lain. Beliau mempengerusikan dan berkhidmat dalam beberapa lembaga pengarah dan jawatankuasa lembaga syarikat portfolio PIF. 

Beliau memegang ijazah Sarjana Muda dalam undang-undang dengan kepujian dari Universiti Durham di United Kingdom. 

Sebelum menyertai PIF, Alazzaz adalah seorang peguam selama sembilan tahun dengan beberapa firma guaman antarabangsa. Dia memperoleh lesen untuk mengamalkan undang-undang oleh Mahkamah Agung New York di Amerika Syarikat dan diiktiraf oleh Kementerian Kehakiman. 

Selepas tamat pengajian, Alazzaz bekerja sebagai pembantu di firma guaman Baker McKenzie selama lebih tiga tahun dan kemudian dia menyertai Vinson & Elkins, yang mana dia berkhidmat sebagai pembantu kanan selama hampir lima tahun sehingga 2016 apabila dia dinaikkan pangkat sebagai peguam. Selepas meninggalkan firma itu, dia menyertai PIF sebagai ketua urus niaga pada 2017. 

Pertikaian dalam kes mahkamah yang dialami keluarganya telah menyebabkan beliau terjebak ke dalam dalam dunia undang-undang.

Dalam satu temu bual dengan English.aawsat.com pada 2017, beliau berkata minatnya untuk menceburi bidang undang-undsang timbul  secara tidak langsung ketika berusia 16 tahun, apabila beliau dipaksa untuk saksi di mahkamah terhadap satu kes yang membabitkan keluarganya itu. 

“Ia  berlaku pada era sebelum golongan wanita Saudi dibenarkan bekerja dalam bidang undang-undang di Arab Saudi. Apa yang saya alami it merupakan insentif yang hebat untuk saya  belajar undang-undang dan mendapatkan lesen amalan guaman pada 2013,” ujarnya.

Sehubungan itu, Alazzaz dianggap sebagai salah seorang peguam wanita pertama di Arab Saudi. Beliau mengambil bahagian dalam banyak persidangan dan seminar yang bertujuan untuk memotivasi dan menyokong golongan muda, termasuk persidangan tahunan hal ehwal antarabangsa di American University of Colorado.

Beliau juga menyampaikan ucaptama pada persidangan Jerman-Timur Tengah pertama untuk profesional muda di Berlin, selain memberi syarahan di beberapa universiti Amerika, termasuk Universiti Harvard di Boston. 

Alazzaz telah dinamakan sebagai ‘The Deal Maker’ pada 2016, dan dipilih sebagai  antara 100 Wanita Paling Berkuasa pada 2020 oleh majalah Forbes Middle East. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -