
Susunan YUSMAN AWANG
HIGHLAND PARK, Illinois: Seorang lelaki bersenjata di atas bumbung melepaskan tembakan pada perarakan Hari Kemerdekaan 4 Julai di pinggir bandar Chicago, di sini, pada Isnin (waktu tempatan), membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 30 yang lain.
Komander Polis Highland Park, Chris O’Neill, yang berada di lokasi kejadian mengarahkan orang ramai mencari tempat berlindung dalam keadaan huru-hara dengan ratusan pengunjung termasuk ibu bapa dengan kereta sorong bayi dan kanak-kanak berbasikal melarikan diri dalam ketakutan.
Sehubungan itu pihak polis telah mengenal pasti suspek sebagai Robert ‘Bobby’ E. Crimo, 22, dan lelaki sudah berjaya ditahan, lapor NBC Chicago.
Ketua Polis Highland, Park Lou Jogmen berkata pada petang Isnin bahawa seorang pegawai polis mengejar E. Crimo III ketika dia memandu kira-kira lima batu ke utara dari lokasi kejadian tembakan itu berlaku sebelum lelaki itu berhenti dan ditahan.

Tembakan berlaku di tempat di laluan perarakan di mana ramai penduduk telah berkumpul pada awal hari untuk sambutan tahunan tersebut.
Berpuluh-puluh peluru yang dilepaskan menyebabkan ratusan peserta perarakan, sebahagiannya kelihatan berlumuran darah melarikan diri.

Datuk Bandar Chicago, Nancy Rotering menurut laporan abcnews.go berkata bahawa keganasan itu ‘telah menggegarkan kami (rakyat AS)’ sambil menambah, “Pada hari kami berkumpul untuk meraikan komuniti dan kebebasan negara, kami sebaliknya meratapi kehilangan nyawa yang tragis dan bergelut dengan keganasan terhadap kami.”
Serangan tersebut adalah yang terbaharu telah menghancurkan rutin kehidupan di Amerika Syarikat. Sekolah, gereja, kedai runcit dan kini, perarakan komuniti semuanya telah menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!