Pengamal OSH

- Advertisement -

PENGAMAL OSH adalah merupakan mereka yang bekerja berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Secara amnya di Malaysia pengamal OSH yang kompeten terbit dari keperluan dan kehendak Akta 514 (OSHA) dan Akta 139 (FMA). Pengamal OSH ini boleh dikategorikan kepada 3 kluster iaitu pengamal ‘safety’, pengamal ‘hygiene’ dan pengamal ‘health’

Pengamal ‘safety’ ia bekerja untuk meminimumkan kekerapan dan keterukan kemalangan, insiden dan kejadian yang menimpa pekerja, harta benda atau persekitaran. Mereka menilai potensi hazard untuk mengenalpasti kemungkinan dan keterukan kejadian serta melaksanakan langkah-langkah untuk mengurang risiko.

Pengamal ‘hygiene’ pula bekerja untuk mengenalpasti, menilai dan mengawal agen kimia, biologi, fizikal atau ergonomik faktor di tempat kerja yang boleh menyebabkan penyakit, kecederaan, ketidakselesaan atau ketidakcekapan di kalangan pekerja.

Bagi pengamal ‘health’ pula bekerja untuk mencegah, mendiagnosis dan merawat penyakit dan kecederaan pekerjaan. Mereka juga dapat menentukan kesesuaian pekerja untuk bekerja.

Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura didapati Pengamal OSH Malaysia mempunyai peratus pengamal ‘Safety’ yang tinggi iaitu sebanyak 89.7 peratus berbanding US sebanyak 59 peratus dan Singapura sebanyak 52.2 peratus. 

Manakala pengamal ‘Hygiene’ di Malaysia adalah sebanyak 7.8 peratus berbanding US 29 peratus dan Singapura 20.3 peratus. Pengamal ‘Health’ pula menunjukkan Malaysia mempunyai sebanyak 2.5 peratus berbanding US 12 peratus dan Singapura 27.5 peratus. Data yang diambil kira ini adalah data pengamal OSH yang kompeten dan berdaftar dengan JKKP. 

Walaupun data yang diambil ini sekitar tahun 2013 namun trendnya masih sama. Peratusan ini menunjukkan bahawa trend negara maju sedang menjurus kepada pengamal ‘hygiene’ dan pengamal ‘health’ di dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terutama dalam menyelesaikan penyakit dan keracunan pekerjaan!

TS. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal 
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -