PDRM akan terlibat operasi audit, pemutihan minyak masak paket

- Advertisement -

PDRM sedia memberi kerjasama dan bantuan berterusan kepada pihak KPDNHEP melalui Op Bersepadu dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi, khususnya minyak masak. 

Ke arah itu, satu perjumpaan melibatkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diadakan pada 4 Julai 2022.

Dalam perjumpaan berkenaan, pelaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket melalui Op Bersepadu di mana tangkapan dan rampasan yang dilaksanakan kelak akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut, telah dipersetujui.

Sebelum ini, PDRM melalui JKDNKA telah melaksanakan Op Kontraban dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi. 

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 barangan bersubsidi yang diseleweng bernilai RM38,247,518 telah berjaya dirampas oleh JKDNKA. Daripada jumlah tersebut, rampasan melibatkan minyak masak adalah bernilai RM854,252. 

Usaha bersepadu dengan pihak KPDNHEP merupakan langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih aktif dalam membendung ketirisan subsidi.

PDRM menyambut baik kerjasama Op Bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

(TAN SRI ACRYL SANI BIN HAJI ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia – HARAKAHDAILY 5/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064506887551/posts/pfbid0QrzcrhFaym31TKYdpbqcVc8tCqPu1dV3hzrtnubLtG7osFAs9j5Yk5VdYA232S1Wl/

- Advertisement -
- Advertisement -