PAS Kedah lancar derma bantu mangsa banjir di Baling

Punca bencana banjir dan kepala air di Kupang, Baling Kedah pada petang 4 Julai 2022 dipercayai akibat sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas sebelum mengalir laju melalui puluhan cerun dan ke Sungai Kupang.

Oleh SARINA ISMAI

Advertisement

BALING: Pengalaman trajedi kepala air Gunung Jerai di Yan tahun lepas sedikit sebanyak boleh dimanfaat untuk mengurus bencana di Baling.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, semua kerja-kerja diselaras di Bilik Operasi Bencana, Markas PAS Baling termasuk menyusun petugas, sukarelawan dan bantuan.

Katanya Bilik Operasi Bencana akan menyelaras semua sumbangan sama ada dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik atau individu untuk diagih kepada mangsa.

“Semua gerakan berpusat di Bilik Operasi Bencana seperti pernah kita laksanakan di Dewan Masjid Wusto ketika kejadian kepala air, Gunung Jerai tahun lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya

Menurutnya juga mesyuarat jawatankuasa bencana di Markas PAS Baling tadi melantik Adun Kuala Ketil Mansor Zakaria sebagai Pengarah Bilik Operasi Bencana.

Kata beliau Mansor akan mengendalikan semua yang berkaitan serta menyusun jadual operasi bantuan dan mencuci dengan bantuan jawatankuasa yang dilantik.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merayu bantuan pelbagai pihak bagi membantu mangsa sama ada melibatkan tenaga, barang keperluan atau kawangan.

“PAS Kedah juga melancarkan derma misi bantuan banjir ke seluruh kawasan untuk membantu meringankan beban mangsa tragedi.

“Saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat terutama kepada keluarga mangsa yang terkorban. Semoga mereka bersabar dengan ujian ini,” katanya lagi.

Kata beliau juga sehingga sekarang seramai 200 sukarelawan mendaftar untuk membantu mangsa banjir di Baling sejak digerakkan semalam. – HARAKAHDAILY 5/7/2022