Lokasi kritikal banjir wajar diisytihar Darurat Bencana

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir lumpur yang melanda Baling semalam.

PPS terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, SK Sheikh Sheh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, sehingga jam 9 malam tadi, empat kampung dilanda banjir lumpur pada kejadian yang berlaku jam 6 petang semalam.

- Advertisement -

Kampung berkenaan iaitu Kampung Iboi, Kampung Tanjung Luas, Kampung Sedim dan Kampung Jernang.

Hujan lebat bermula kira-kira jam 2 petang semalam mengakibatkan kampung-kampung berkenaan dilanda banjir apabila air sungai melimpah ke kawasan penempatan.

Operasi menyelamat mangsa yang terperangkap masih giat dijalankan semua agensi penyelamat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri berharap kawasan yang kritikal di beberapa kampung diisytiharkan kawasan Darurat Bencana tahap I atau II selari dengan situasi.

“Hal ini akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) akan diadakan di Pejabat Daerah Baling pagi ini.

“Mesyuarat itu akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Kedah, Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim,” ujarnya ketika selepas meninjau lokasi terjejas banjir malam tadi.

Menurutnya juga pihaknya merujuk Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah untuk menentukan bidang kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana berdasarkan tahap I, II atau III berdasarkan Arahan MKN20.

“Saya berharap semua mangsa bersabar dengan ujian tersebut. Semua agensi dan sahabat handai akan terus membantu. Setiap ujian dan dugaan akan mematangkan kita untuk terus melangkah ke hadapan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -