K’jaan perlu proaktif tangani kesan inflasi global, kos sara hidup

inflasi
- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menggesa pihak Kerajaan supaya mengambil sikap yang proaktif dalam menangani kesan inflasi global dan isu kenaikan kos sara hidup yang sedang membelenggu rakyat ketika ini. Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hendaklah mempunyai hala tuju yang jelas supaya ia dapat memainkan peranan menyediakan jalan keluar terhadap permasalahan tersebut.

Pengurusan ekonomi memerlukan sikap mahmudah merangkumi aspek timbang rasa yang tinggi daripada Kerajaan, bertolak ansur selain menolak unsur-unsur yang boleh merencatkan rantaian bekalan sehingga menyebabkan berlakunya manipulasi harga oleh pihak tertentu. 

Meskipun kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi yang terus menggelembung berbanding peruntukan asal kerana didorong oleh faktor ketidaktentuan pasaran global, namun penyelesaian bersifat mikro tetap memerlukan intervensi yang kukuh. 

Dewan Ulamak PAS Pusat juga menggesa kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan dalam menangani isu kartel yang dilihat menguasai pasaran domestik ketika ini. Kewujudan golongan yang mengawal bekalan ini telah menganggu keseimbangan permintaan dan penawaran sehingga menyebabkan harga menjadi tidak terkawal. 

Semua pihak termasuklah para pengusaha, pembekal dan peniaga digesa tidak menangguk di air keruh. Sikap tidak bertanggungjawab serta tiada timbang rasa apatah lagi wujudnya unsur-unsur sabotaj dalam rantaian bekalan menyebabkan isu ini semakin meruncing. Sikap sedemikian haruslah dielakkan dan penyelesaian menang-menang amat diperlukan ketika ini. 

Di samping itu, peranan Pasukan Petugas Khas Jihad Tangani Inflasi perlu diselaraskan dengan baik bagi menyediakan strategi alternatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam menanggapi isu ini. Pendekatan demokrasi bermusyawarah melibatkan sesi libat urus dengan pihak tertentu perlu segera disusun supaya krisis ini tidak berpanjangan.

YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -