JPN agih 38,731 kad pengenalan program MEKAR

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengagihkan sebanyak 38,731 kad pengenalan di seluruh negara sejak hampir tiga tahun lalu melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Antaranya membabitkan golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental, pesakit kronik dan penduduk Orang Asli yang sukar hadir ke JPN.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Dato’ Ruslin Jusoh berkata, langkah itu merupakan pendekatan proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah.

- Advertisement -

Katanya ia membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kerajaan.

“Permohonan gantian kad pengenalan bagi golongan terlibat boleh dilakukan secara Perkhidmatan Phone-In melalui Program Mekar Ehsan yang tidak memerlukan pemohon hadir ke pejabat.

“Perkhidmatan Phone-In yang disediakan JPN amat bermakna dan bertepatan memandangkan keadaan pemohon yang tidak boleh hadir ke pejabat.

“Ia secara langsung dapat membantu serta memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan JPN secara atas talian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kad pengenalan kepada seorang penduduk di Kampung Gaung, Tendog, di sini hari ini.

Perkhidmatan berkenaan boleh dilakukan secara Phone-In melalui Program MEKAR menerusi talian 03-88808066.

Mengenai ciri-ciri keselamatan kad pengenalan yang mudah ditiru Ruslin berkata, pihaknya dari semasa ke semasa menambahbaik ciri-ciri keselamatan supaya ia selamat dan tidak mudah dipalsukan.

“Kita mempunyai banyak ciri keselamatan untuk mengelak daripada ditiru. Ada sebahagian ciri-ciri itu boleh dilihat secara fizikal, manakala sebahagian lagi hanya mampu dilihat menggunakan alatan khas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lapan pengawal keselamatan warga Filipina mendakwa kad pengenalan palsu yang digunakan mereka dibeli daripada ejen dengan harga antara RM500 hingga RM800 setiap satu. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -