Insentif Khas Kasih UniMAP bantu 21,503 pelajar

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Insentif Khas Kasih Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilancarkan 6 Julai 2020 membantu meringankan beban pelajar dan keluarga ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, sehingga kini sebanyak RM5.6 juta dimanfatkan melibatkan 21,503 pelajar.

Katanya bantuan itu termasuk Menu Keluarga Malaysia dengan harga RM3.50 setiap hidangan makan tengah hari dan makan malam termasuk minuman.

- Advertisement -

“Penyediaan bank makanan serta bantuan kewangan secara tunai kepada pelajar yang terputus wang juga disediakan.

“Usaha itu akan diperkasakan dengan beberapa inisiatif baharu khusus untuk mengurangkan beban kewangan pelajar ekoran situasi semasa,” katanya pada kenyataan di sini.

Menurutnya juga UniMAP sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan atau perbincangan demi menjaga kebajikan pelajar.

“Kita sangat mengalukan penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menyumbang bagi meringankan beban pelajar.

“UniMAP akan terus memantau situasi semasa agar pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata, pelajar tidak perlu membuat protes jalanan bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Katanya, MPP dan kesatuan pelajar mengambil pendekatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti bagi menangani isu yang hangat diperkatakan sekarang.

“Setakat hari ini harga makanan di premis universiti masih rendah dan terkawal. Malah jika ada isu berbangkit, pelajar dialukan untuk membuat aduan kepada MPP supaya ia dapat diatasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -