Banjir: Khidmat Malaysia kerah petugas ke Baling

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengerahkan bantuan petugasnya dari seluruh negara untuk membantu mangsa bencana banjir dan kepala air di Kupang, Baling, Kedah.

Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sehingga kini, Khidmat Malaysia Kedah dan Pulau Pinang telah pun turun membantu mangsa bencana yang terlibat.

Katanya, pihaknya telah mengambil tindakan awal dalam menangani bencana banjir yang melanda beberapa buah kampung terlibat, sejak petang semalam.

“Khidmat Malaysia Kedah juga membuka Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Negeri (BGKMN) sejak malam tadi dan fasa menyelamat (Rescue) telah dilaksanakan oleh anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM).

“Khidmat Malaysia di semua peringkat telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi menerima pengarahan dari Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB),” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut Khairul Faizi, Khidmat Malaysia akan mengeluarkan arahan seterusnya dari semasa ke semasa bermula petang ini khususnya dalam tugas-tugas membabitkan fasa pemulihan (Relief).

“Khidmat Malaysia akan bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi berkaitan dalam operasi di Baling,” katanya lagi.

Terdahulu, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) menjelaskan pihaknya akan mengeluarkan arahan pergerakan dan bantuan ke Baling dalam masa terdekat.

Dalam masa yang masa, Khidmat Malaysia di semua peringkat di minta bersiap sedia untuk menerima pengarahan dari BGIB.

Dalam satu kenyataan, BGIB menjelaskan pihaknya sedang berurusan dengan Khidmat Malaysia Kedah untuk penyelarasan.

Justeru, pihaknya berharap tiada pergerakan dari mana-mana peringkat ke Baling sebelum menerima sebarang arahan terkini.

Untuk rekod, Khidmat Malaysia merupakan badan organisasi bukan kerajaan yang membantu menguruskan bencana di Malaysia.

Terdapat tiga fasa dalam menguruskan bencana, iaitu operasi menyelamat (rescue) yang hanya boleh dilakukan oleh anggota keselamatan dan professional, kemudian operasi bantuan (relief) yang menjadi tumpuan Khidmat Malaysia dan akhir sekali, pemulihan (rehabilitation). – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -