Banjir: Jabatan Amal bantu selamatkan pelajar terkandas

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
Tindakan pantas Jabatan Amal Malaysia (JAM) bersama anggota keselamatan dalam kejadian banjir dan kepala air di Kupang, Baling, semalam berjaya memindahkan lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah yang terkandas dalam bangunan sekolah.

Pemangku Ketua Pengarah JAM, Shehdi Hazrik Shamsudin, berkata kejadian itu yang menyebabkan air sungai naik mendadak dan berarus deras menyebabkan beberapa pelajar memanjat bumbung bangunan untuk menyelamatkan diri.

- Advertisement -

“Keadaan air yang naik tiba-tiba menyebabkan pelajar-pelajar ini bergerak ke bangunan lebih tinggi.

“Dimaklumkan, terdapat pelajar yang terpaksa memanjat siling bangunan kantin untuk menyelamatkan diri dari dihanyutkan air banjir yang deras,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Tambah Shehdi, kerjasama semua anggota Jabatan Amal, Khidmat Malaysia dan anggota Bomba bersama waris pelajar memudahkan operasi.

Maklumnya, dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di sekolah berkenaan setakat ini.

“Ketika ini anggota JAM sudah diarah untuk turun membantu bagi Operasi Dapur Rakyat dan Pembersihan rumah.

“Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank JABATAN AMAL MALAYSIA atas nama Kebajikan Amal Malaysia 5630-2861-9988.

“Sumbangan tuan dan puan didahului dengan ucapan terima kasih, semoga Allah membalasnya jasa anda dengan sebaik-baik ganjaran dunia akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -