Tiga maut ditembak di Copenhagen: Konsert Harry Styles dibatal

Konsert Harry Styles dibatalkan susulan serangan berdarah di pusat beli-belah Field di Copenhagen, Denmark pada 3 Julai 2022. (FOTO TeenVogue)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

COPENHAGEN: Tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam kejadian serangan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Copenhagen pada Ahad (3 Jul) menyebabkan konsert penyanyi terkenal British, Harry Styles yang bakal berlangsung pada sebelah malamnya di Royal Arena, tidak jauh dari pusat belah-belah berkenaan terpaksa dibatalkan.

Pihak polis Copenhagen dalam kenyataannya berkata, serangan berdarah di pusat beli-belah Field di sini telah menggemparkan Denmark pada penghujung minggu yang menggembirakan penduduknya sejurus selepas ia menjadi tuan rumah tiga peringkat pertama perlumbaan basikal Tour de France, yang menyaksikan beribu-ribu warga negara itu bersorak di jalan–jalan raya seluruh negara itu.

- Advertisement -

“Kegembiraan orang ramai itu kemudiannya akan disusuli  dengan kemunculan Harry Styles untuk konsertnya itu,” ujar kenyataan tersebut, lapor Reuters.

Polis Denmark juga menyatakan suspek kejadian yang merupakan seorang lelaki Denmark berusia 22 tahun telah ditahan dan akan didakwa  atas tuduhan membunuh pada hari ini, Isnin (4 Julai).

Sehubungan itu Perdana Menteri Denmark, Mette Frederikson mengeluarkan kenyataan pada lewat Ahad mengumumkan tentang tragedi itu.

Seorang ibu dan anaknya yang merupakan antara pengunjung pusat beli-belah Field, di Copenhagen cemas dan trauma dalam kejadian serangan tembakan pada 3 Julai 2022. (FOTO EPA)

“Denmark dilanda serangan kejam pada malam Ahad. Beberapa orang terbunuh. Malah ramai yang cedera. Keluarga yang datang membeli-belah dan makan-makan. Kanak-kanak, remaja dan dewasa,” kata Frederiksen dalam satu kenyataan lewat Ahad.

“Negara kami yang selama ini indah dan selamat bertukar dalam sekelip mata. Justeru, saya menyeru rakyat Denmark untuk berdiri bersama-sama  dan menyokong antara  satu sama lain dalam masa yang sukar ini,” ujarnya.

Sementara Styles dalam twitternya berkata: “Saya turut berada sedih dengan tragedi yang dialami penduduk Copenhagen ini. Saya sukakan bandar ini. Penduduk di sini sangat mesra dan penuh kasih sayang,” tulis Styles di Twitter. 

Polis bersenjata berkawal di luar pusat beli-belah Field, selepas menerima laporan mengenai tembakan di pusat beli-belah Fields, di Copenhagen, Denmark pada 3 Julai 2022. (Ritzau Scanpix/Olafur Steinar Gestsson/REUTERS)

“Saya sangat sedih untuk mangsa, keluarga mereka, dan semua orang yang terbabit. Saya minta maaf kita tidak dapat bersama-sama. Jagalah keselamatan anda antara satu sama lain,” tambah bekas anggota kumpulan One Direction itu.

Dalam pada itu menurut polis Copenhagen berkata, pegawai bersenjata dihantar ke pusat beli-belah Field di ibu negara lewat petang Ahad selepas laporan berlaku tembakan, dan telah mengarahkan agar orang ramai di dalam supaya berlindung di situ dan menunggu bantuan. 

Orang ramai bersama-sama ahli keluarga masing-masing bergegas keluar menyelamatkan diri dari pusat beli-belah Field di Copenhagen, Denmark pada 3 Julai 2022. (FOTO Ritzau Scanpix/Olafur Steinar Gestsson/REUTERS)

Rakaman media tempatan menunjukkan kumpulan orang ramai yang ketakutan berlari keluar dari pusat membeli-belah yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Copenhagen itu.

Suspek ditahan pada pukul 5.48 petang waktu tempatan sambil membawa senapang dan peluru. Suspek akan menghadapi soal siasat awal di hadapan hakim awal Isnin ini.

Polis melancarkan operasi mencari secara besar-besaran di seluruh wilayah tempatan Zealand pada awal petang Ahad untuk mencari mana-mana rakan jenayahnya.

Orang ramai berkumpul selepas polis Copenhagen menerima laporan mengenai tembakan di pusat beli-belah Field, di Copenhagen, Denmark pada 3 Julai 2022. (FOTO Ritzau Scanpix/Claus Bech/REUTERS)

“Kami akan menjalankan siasatan besar dan kehadiran operasi besar-besaran di Copenhagen sehingga kami boleh mengatakan dengan pasti: Dia bersendirian,” kata Ketua Polis Inspektor, Soren Thomassen.

“Penembak itu telah membunuh seorang lelaki berusia dalam lingkungan empat puluhan dan dua anak muda –  seorang lelaki dan seorang wanita. Beberapa yang lain mengalami kecederaan termasuk tiga berada dalam keadaan kritikal,” jelasnya.

Hospital utama ibu kota Denmark itu, Rigshospitalet, telah menerima kumpulan kecil mangsa untuk rawatan, ujar seorang jurucakap awal petang Ahad, yang mana doktor dan jururawat tambahan telah dipanggil untuk bertugas bagi mengendalikan kes tersebut.

Ambulans dan polis bersenjata di luar pusat beli-belah Field, di Copenhagen, Denmark, 3 Julai 2022. (FOTO Ritzau Scanpix/Olafur Steinar Gestsson melalui REUTERS)

Media Tabloid Denmark, BT dalam pada itu telah menerbitkan rakaman video yang tidak disahkan yang dikatakan dirakam oleh saksi serangan, Mahdi Al-wazni, menunjukkan seorang lelaki dengan senapang besar berjalan melalui pusat beli-belah dan menghayunkannya ke bahunya.

“Dia kelihatan sangat agresif dan menjerit tentang perkara yang berbeza-beza,” kata Al-wazni kepada BT.

Rakaman yang diterbitkan oleh tabloid Ekstra Bladet pula menunjukkan seorang mangsa  diusung oleh anggota penyelamat ke dalam ambulans di atas pengusung.

Kakitangan kecemasan tiba di pusat beli-belah Fields, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan mengenai tembakan di bangunan yang terletak di Copenhagen, Denmark pada 3 Julai 2022. (FOTO Ritzau Scanpix/Olafur Steinar Gestsson/REUTERS)

“Orang ramai mula-mula menyangka ia adalah pencuri… Kemudian saya tiba-tiba mendengar bunyi tembakan dan melemparkan diri saya ke belakang kaunter di dalam kedai. Dia menembak ke arah orang ramai, bukan ke siling atau lantai,” kata seorang saksi  di lokasi kejadian, Rikke Levandovski, kepada media penyiaran Denmark, TV2.

“Saya dan rakan saya … tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Saya mendengar kira-kira sepuluh das tembakan dan kami kemudian berlari sepantas mungkin ke dalam tandas. Kami berhimpit di dalam tandas kecil itu bersama sembilan orang lain,” ujar seorang lagi saksi yang hanya dikenali sebagai Isabella kepada media penyiar awam, DR.

Kelibat suspek serangan berdarah yang dirakam di pusat beli-belah Field, Copenhagen, Denmark pada 3 Julai oleh seorang saksi, Mahdi Al-wazni yang berada di lokasi kejadian. (FOTO MAHDI AL-WAZNI)

Serangan terbaharu  itu susulan kejadian tembakan maut di negara jiran, Norway minggu lalu, yang mana dua orang terbunuh oleh seorang penembak di ibu negara Oslo.

Sehubungan itu, laporan terbaharu dari Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Denmark berkata, ancaman pengganas  terhadap Denmark kini dinilai sebagai ‘serius’.

Ancaman terhadap Denmark daripada pelampau sayap kanan sebelum ini dianggap pada tahap umum’, yang bermaksud terdapat keupayaan dan/atau niat dan mungkin merancang.

Pasukan polis Copenhagen dan kakitangan kecemasan mengawal pusat beli-belah Field susulan kejadian tembakan rambang di situ pada 3 Julai 2022. (FOTO AP/Ian Maule)

Denmark kali terakhir menyaksikan serangan militan pada tahun 2015, yang mana dua orang terbunuh dan enam pegawai polis cedera apabila seorang lelaki bersenjata bersendirian menembak dan membunuh seorang lelaki di luar pusat kebudayaan yang menganjurkan perdebatan mengenai kebebasan bersuara.

Lelaki yang kemudiannya membunuh seorang lagi mangsa di luar rumah ibadat Yahudi di Copenhagen itu bersenjata itu terbunuh dalam tembak-menembak dengan polis. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -