Mangsa ke-28 kekejaman Israel di Jenin meninggal dunia

Tentera Israel membunuh penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak bawah umur.
- Advertisement -

JENIN (TEBING BARAT): Remaja Palestin, Kamal Alawna, meninggal dunia semalam akibat cedera parah ditembak ketika serbuan tentera Israel di sebuah bandar di sini, Sabtu lalu.

Alawna, 17, ditembak di perut dan tangan kanannya ketika konfrontasi yang meletus di Jabaa, Tebing Barat yang diduduki, selepas tentera Israel menyerbu bandar itu.

- Advertisement -

Mengikut laporan Middle East Eye, Pengarah Hospital Ibn Sina Jenin, Jani Abu Jukha, berkata Alawna sampai ke hospital dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia akibat kecederaan.

Tentera Israel melakukan operasi serbuan dan tangkapan hampir setiap hari di Tebing Barat yang diduduki sejak Mac lalu yang sering menyebabkan kecederaan atau pembunuhan rakyat Palestin.

Awal minggu ini, tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin berusia 25 tahun ketika serbuan semalaman di bandar ini.

Kematian Alawna menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh di wilayah Jenin tahun ini kepada 28 orang, termasuk wartawan veteran, Shireen Abu Akleh, yang ditembak mati oleh tentera Israel pada Mei lalu, ketika membuat liputan serbuan tentera di kawasan itu.

Mohammed Salah, 14, menjadi mangsa termuda ditembak tentera Israel

Jumlah kematian

Perhimpunan Kebangsaan Keluarga Syahid Palestin menyatakan bahawa jumlah rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel sejak Januari hingga 30 Jun lalu mencecah 77 orang, termasuk 15 kanak-kanak bawah umur.

Laporan itu berkata, Mohammed Salah yang berusia 14 tahun dari bandar al-Khader di Bethlehem, adalah yang paling muda dalam kalangan rakyat Palestin yang terbunuh tahun ini.

Pengarah perhimpunan itu, Mohammed Sbeihat, berkata rakyat Palestin tertua yang terbunuh ialah Omar Abdel-Majeed Asaad, dari kampung Jaljia di Ramallah dan Suleiman al-Hathaleen, dari kampung Umm al-Khair di Hebron, masing-masing berusia 80 tahun.

Sbeihat berkata, April adalah bulan paling dahsyat setakat ini, dengan 23 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel. – HARAKAHDAILY 4/7/22

- Advertisement -