Kelantan hargai pemenang pingat Sukan SEA Vietnam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) menghargai jasa atlet Kelantan dengan menyediakan insentif kepada perangkul pingat pada temasya Sukan SEA 31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei lalu. 

Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan Muhammed Imran Mansoor memaklumkan daripada 20 atlet negeri yang mewakili Malaysia ke sukan tersebut. Tujuh daripadanya telah membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa. 

Beliau juga berharap enam atlet negeri yang bakal terlibat dalam acara squash dan ragbi yang dipertandingkan dalam sukan Komanwel yang akan berlangsung dua minggu lagi, membawa pulang pingat untuk mengharumkan nama Malaysia dan Kelantan, khususnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan YB Wan Roslan Wan Hamat berkata insentif yang diberikan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan di Kelantan terutamanya dalam bidang sukan berprestasi tinggi. 

“Semoga pemberian insentif ini dapat menyuntik semangat untuk terus berjuang bagi mengharumkan nama negeri dan negara amnya di samping memberi semangat kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan yang sama. 

“Peluang kejayaan terbuka luas kepada sesiapa sahaja asalkan berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara, ‘man jadda wajada’ (siapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya),” 

Demikian menurut beliau semasa berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan kepada Pemenang Pingat di Temasya Sukan SEA Vietnam yang berlangsung di Hotel Perdana, hari ini. 

Penerima insentif bagi Pemenang Pingat emas diperolehi Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dalam acara Muay Thai kategori elit bawah 54 kilogram lelaki yang telah diwakili oleh ayahnya kerana beliau sedang berada di Bangkok menjalani latihan intensif untuk menghadapi Kejohanan Piala Raja Thai yang dijangka berlangsung pada hujung Julai. 

Manakala penerima pingat gangsa bagi acara tinju kategori 81 kilogram ialah Khir Akyaazlan Azmi dan selebihnya ialah Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Eqbal Shamsudin, Siti Norzubaidah Che Ab Wahab dan Siti Nor Shuhaida Jafri yang memenangi pingat perak dan gangsa dalam acara sepak takraw. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -