Jihad tangani inflasi: Langkah intervensi, subsidi, informasi dan empati

- Advertisement -

PASCA Covid-19, inflasi umpama suatu wabak yang akan kita hidup bersamanya (live with it), ada pasang surutnya, kesannya tidak sama mengikut musim, lokaliti dan tahap pendapatan.

Menurut Jabatan Perangkaan Negara, tanpa subsidi yang disediakan oleh pihak kerajaan, kadar inflasi Malaysia boleh mencecah 11.4 peratus berbanding kadar semasa 2.8 peratus bagi tempoh Mei 2022.

Ternyata pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan, namun impak inflasi masih tetap dirasai. Menurut Menteri Kewangan, subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.7 bilion bagi tahun 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (RM37.3 bilion), minyak masak (RM4 bilion), ayam, telur, dan tepung, termasuklah subsidi elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan pengguna domestik tetap menikmati rebat dan tidak dikenakan surcaj, walaupun harga arang batu dan gas telah meningkat di peringkat global.

Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (RM11.7 bilion), dan lain lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.7 bilion bagi tahun 2022.

Ujar beliau, bantuan tunai (BKM) mencecah RM8.0 bilion bagi 2022 adalah tertinggi dalam sejarah, memanfaatkan 12.6 juta individu, bersamaan 60 peratus populasi dewasa Malaysia.

Persoalannya, mengapa masih wujud jurang di antara subsidi yang disalurkan dengan kenaikan harga barang yang ketara, dan apakah ‘langkah pembetulan’ yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan?

SUBSIDI. Walaupun tidak mampan, subsidi tetap diperlukan untuk menyerap (melandaikan) kesan inflasi. Manakala bantuan tunai, kebajikan dan zakat sangat penting untuk membantu golongan B40 dan M40 yang terbeban.

INTERVENSI. Kepada Kerajaan, inilah masanya untuk membetulkan keadaan dengan mengurangkan kebergantungan import, perbaiki perbekalan tempatan dan pertingkat kawalan dalam pasaran. Selagi rantaian penawaran (supply side) di ‘huluan’ tidak diluruskan, selagi itulah isu kenaikan harga barang di ‘hiliran’ akan berterusan.

syahir2
Syahir Sulaiman

EMPATI. Kepada sekalian pemimpin, NGO dan Baitulmal, inilah masanya untuk menzahirkan empati bersama denyut nadi rakyat bawahan. Inisiatif untuk meningkatkan had kifayah penerima zakat, di samping peningkatan bantuan tunai oleh pihak Kerajaan, amatlah dialukan. Kempen dan penerangan pula hendak dipergiatkan.

Usaha ‘JIHAD’ menangani inflasi memerlukan pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach melibatkan seluruh agensi kerajaan, pengguna, pengeluar, dan peniaga, dalam misi tunggal untuk mengurangkan kos sara hidup dan kos melakukan perniagaan, sekaligus memangkin usaha pemulihan ekonomi negara.

Semoga Malaysia dapat mengharungi tempoh sukar ini, dan Insya-Allah segalanya dapat dijayakan dengan menggerakkan empat langkah utama, iaitu Intervensi, Subsidi, Informasi dan Empati secara menyeluruh, tersusun, bersepadu dan bersatu hati. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

Syahir Sulaiman ialah pengguna dan ketua isi rumah.

- Advertisement -