Inflasi: Cukup bersyarah, pemimpin ayuh musyawarah!

RM100 yang dulu, tidak sama dengan yang sekarang. Jika dulu ada RM1,000 itu boleh bermewah, hakikatnya kini RM1,000 itu hanyalah cukup-cukup makan. Fenomena ini dipanggil sebagai inflasi, hakikatnya, semakin lama, semakin berkurang kuasa beli yang kita ada. 

Inflasi bermaksud kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Mungkin jika kita ingat zaman sekolah dahulu, sekeping roti canai boleh dibeli pada harga RM0.60 sen, tapi kini, sekeping roti canai telah meningkat harganya kepada RM1.20.

Sehingga kini, kadar inflasi yang tinggi telah melanda banyak negara, kita dapat lihat hancurnya ekonomi Sri Lanka yang menatijahkan kadar inflasi yang luar biasa. Harapnya inflasi di Malaysia tidak akan memamah nilai matawang sehinggakan kehidupan rakyat Malaysia terbeban. 

Hakikatnya, siapakah yang paling terkesan dengan inflasi?

Bagi golongan kaya, peningkatan yang sedikit ini tidaklah memberi kesan kepada mereka, tapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya sukar untuk menyesuaikan diri dengan inflasi. Tekanan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga ini amat perit. 

Justeru, satu pelan intervensi yang ampuh perlulah dilaksanakan untuk membantu 2 golongan ini. PAS tidak akan berdiam diri dalam isu kebajikan rakyat. 

Oleh sebab itu, PAS menerusi Ketua Penerangan, YB Senator Ir. Khairil Nizam telah menggesa kerajaan agar menyuntik ekonomi dengan mengkreditkan bantuan bulanan secara bersasar kepada golongan B40 dan M40. Dalam prinsip Islam juga, kerajaan berperanan dalam mengagihkan kekayaan agar masyarakat dapat hidup secara sejahtera. 

Dalam masa sama, kita mengakui setiap parti politik dan Ahli Parlimen ada idea dan solusi yang tersendiri dalam menangani isu ini. Maka, satu sesi sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu harga makanan seterusnya menghasilkan solusi yang tuntas buat rakyat adalah amat wajar untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Konklusinya, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ayuhlah semua parti politik kita sahut seruan YDPA. Bersama lah dengan PAS untuk kita laksanakan demokrasi bermusyawarah. Dengan ini, kerajaan dan pembangkang perlulah bekerjasama dalam usaha untuk merangka pelan ekonomi yang mampu mengurangkan beban yang dihadapi oleh rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pertelingkahan kuasa, rakyat cuma mahukan nasib mereka terbela!

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/7/2022

Advertisement