Dapur Hijau didik suri rumah bertani

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) mendidik masyarakat kembali kepada fitrah dalam menyelesaikan keperluan hidup seharian termasuklah menangani isu kenaikan harga barang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata tujuh tahun program Dapur Hijau kelolaan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kaum wanita untuk bercucuk tanam di sekeliling rumah.

Katanya, masyarakat diingatkan untuk selalu mendekatkan diri dengan alam melalui gaya hidup yang serasi, saling melengkapi sesama makhluk melalui kegiatan pertanian dan penternakan.

“Istilah alam semulajadi tidak tepat kerana semuanya makhluk (ciptaan) dan Allah S.W.T itulah penciptanya (al-Khalik). Syed Qutb menulis tentang keharmonian sistem rantaian kehidupan di dunia ini seperti manusia hirup oksigen dan lepaskan karbon dioksida. 

“Sebaliknya tumbuh-tumbuhan pula mengeluarkan oksigen dan memerlukan karbon dioksida”, katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, semalam.

Sebelum itu, Exco Pertanian Negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan peserta Program Dapur dilatih membuat dan menyimpan benih sayur-sayuran agar stok sumber produktiviti makanan tidak putus.

“Kita berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan atas kerjasama teknikal yang diberikan selaku para pemantau program Dapur Hijau. 17 pemenang usahawan tani Dapur Hijau diberi dana untuk mengembangkan hasil tani daripada sekadar memakan hasil tani sendiri kepada menjual produk tani mereka kepada masyarakat sekitar pula,” katanya. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -