Pelajar PASTI teruja sertai acara sukan pasca Covid

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
PASTI Al-Furqan Pauh Indah mengungguli Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Kawasan Arau yang berlangsung semalam.

Kejohanan itu diadakan di Kompleks Pendidikan MADI di mana pasukan bola sepak dan bola jaring PASTI berkenaan muncul johan.

Pengerusi PASTI Arau, Abd Hadi Halipah berkata, sungguhpun kejohanan itu tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, namun tahun ini ia dapat diadakan.

Advertisement

“Kejohanan tahun ini merupakan pertama kali diadakan sejak negara dilanda wabak Covid-19 menyaksikan banyak acara PASTI terpaksa ditunda atau dilaksanakan secara maya.

“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat lakukan semula, pelajar PASTI teruja menyertai pertandingan dengan kerjasama dengan guru-guru,” katanya pada program tersebut.

Pasukan bola sepak PASTI Al Furqan muncul juara setelah menewaskan pasukan daripada PASTI Darul Hikmah Jejawi Dalam manakala pasukan bola jaringnya pula menang tipis ke atas pencabar yang sama.

Dalam pada itu, PASTI berkenaan turut membawa pulang hadiah kontinjen terbaik kejohanan kali ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Yang Dipertua PAS Arau, Solahudin Azmi dan Ketua Pemuda PAS Arau, Nor Amrul Amri Chan.

Selain itu turut dipertandingkan acara tarik tali yang dimenangi PASTI Al Mahmudiah Kampung Sena. – HARAKAHDAILY 3/7/2022