Institusi pondok benteng terakhir umat Islam

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS:
Institusi pendidikan Islam termasuk pondok mesti dipertahankan kerana ia merupakan benteng terakhir umat Islam khususnya di Kelantan.

Pada masa yang sama guru dan pelajar pondok perlu memahami isu semasa dan politik bagi mengekalkan kerajaan Kelantan yang didukung ulama lebih 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata kerana itu pendidikan pondok mesti dipertahankan walaupun pengasas atau tok guru meninggal dunia.

- Advertisement -

Menurutnya, ia amat penting bukan hanya untuk menjaga akidah rakyat sebaliknya mempertahankan kerajaan Kelantan yang ditadbir berteraskan Islam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtima Ulamak Guru Pondok Kelantan kali ke-2 yang diadakan di Pondok Gelang Mas, dekat sini semalam.

Lebih 10,000 guru dan pelajar pondok dari seluruh Kelantan hadir. Hadir sama beberapa pondok dari Terengganu dan Kedah yang mengikuti program sehari itu.

Katanya juga ulama pondok yang ada sekarang perlu mengekalkan sistem pendidikan Islam di pondok walaupun pengasasnya telah meninggal dunia.

“Kita tidak mahu institusi pondok berakhir dan tutup setelah tok guru atau pengasasnya meninggal dunia. Bagaimanapun kita bersyukur di Kelantan terdapat juga sekolah agama di pondok,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengingatkan guru guru pondok supaya bersiap sedia untuk menghadapi cabaran semasa di samping mendalami ilmu politik.

“Sekarang cabaran lebih hebat. Kita kena tahu isu-isu semasa termasuk hal ehwal politik. Kalau kita tak memahami politik, pihak lain akan guna kuasa politik untuk tekan kita,” ujarnya.

Menurutnya juga ramai ulama terbabit dalam politik di mana ada yang bertanding pada pilihan raya sebelum ini antaranya Tuan Guru Zakaria Pondok Lubok Setol, Tuan Guru Daud Meranti dan beberapa lagi.

Kerana itu katanya, guru pondok perlu ada kesatuan dan sentiasa berjuang untuk menguatkan kerajaan yang diasaskan Membangun Bersama Islam.

“Insya-Allah kalau kita pakat molek tidak ada siapa boleh mengganggu gugat kerajaan yang ada hari ini. Kerajaan negeri sentiasa sokong dan memberi sumbangan kepada institusi pondok melalui pelbagai program yang dianjurkan sejak dahulu lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2022

- Advertisement -