Tubuh MPN bukan kepentingan politik

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TANAH MERAH:
Pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukan untuk kepentingan individu atau mana-mana parti sebaliknya ia ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyumbang idea dan saranan dalam membantu memulihkan negara demi kelangsungan hidup rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang keputusan perlu diserahkan kepada rakyat untuk menilai sama ada gagal atau tidak meskipun ada pelbagai dakwaan pihak tertentu tentang perkara itu.

Justeru katanya, keberadaan beliau dalam MPN bukan hanya untuk menyumbang idea dalam membantu kerajaan khususnya demi menstabilkan keadaan ekonomi dan kesihatan negara.

- Advertisement -

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang bila orang politik buat kenyataan ada muslihat politik. Saya tidak mahu kata apa, itu terserah..

“Saya berada disini bukan sahaja untuk bantu kerajaan tetapi saya mengambil pendirian bahawa apa keputusan yang kita nak usulkan kepada kerajaan tidak semestinya mengikut dasar kerajaan sedia ada.

“Jika ada perkara baru tidak disenaraikan yang penting untuk dilakukan, sebagai contoh pembukaan sempadan, jadi apa diputuskan oleh MPN, seboleh-bolehnya seawal Januari, tetapi kerajaan tangguh sehinggan Jun. Kenapa kita nak segera?, ini kerana kalau tangguh ekonomi tidak akan pulih dalam tempoh yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terserah kepada mana-mana pihak mendakwa ia gagal atau sebaliknya, namun perlu diingati MPN merupakan sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan bertujuan memberi nasihat.

“Nak kata gagal atau tidak itu terserah kepada kerajaan, mungkin cadangan kita baik tapi kesannya tidak baik. Tapi saya faham proses pemulihan ini tidak mudah.

“Dato’ Seri Zahid Hamidi senang cakap gagal, macam dahulu dia kata kerajaan gagal tapi tak gagal. Apa pun yang cakap gagal itu adalah orang politik bukan rakyat. Tapi kalau rakyat bagitahu Muhyiddin berhenti, saya akan berhenti“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zahid mengatakan penubuhan MPN sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

- Advertisement -