Hayati semangat berkorban, terap dalam kehidupan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Pelaksanaan ibadah korban dibenar untuk dikelolakan oleh semua pihak sama ada masjid, surau berdaftar, jabatan atau agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, untuk penyembelihan haiwan korban pula hanya dibenar dilakukan di kawasan seperti rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta, masjid dan surau berdaftar serta premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

- Advertisement -

“Semua penganjur yang menguruskan ibadah korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban.

“Kriteria tempat juga mestilah bersih dan tidak tercemar serta mempunyai pengudaraan yang baik.

“Untuk mengadakan jamuan pula, ia dibenarkan dan diharap ketibaan Zulhijjah yang mulia ini mengingatkan kita semua mengenai semangat berkorban yang harus dihayati dan diterapkan dalam kehidupan seharian,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menggalakkan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dilakukan di tanah lapang pada jam 8 pagi seperti tahun sebelum ini.

“Pemilihan tanah lapang adalah tertakluk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh Perlis dan prosedur ini dilaksanakan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Ia selaras dengan sunnah Baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan, dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

“Namun, pihak jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” tambah baginda lagi.

Walau bagaimanapun, menurut baginda, jemaah masih perlu mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka semasa hendak menunaikan solat sunat Aidiladha.

Titahnya lagi, jemaah dibenarkan bersalaman namun tidak menyentuh muka selepas itu dan hendaklah sentiasa mencuci atau membersihkan tangan. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

- Advertisement -