Harga barang naik dan Mat Kilau

- Advertisement -

MARAH sungguh semua orang dengan PAS. Bukan sahaja musuh, malah yang mengaku sokong PAS pun sindir menyindir pimpinan PAS. Isu kenaikan harga barang ini, memang isu sensitif. Kalau diikutkan sejarah, zaman kejatuhan empayar Othmaniyyah, salah satu sebabnya ialah kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang yang berlaku ketika itu. Sudahlah negara dikelilingi hutang, diserang pula oleh rakyat sendiri. Akhirnya jatuh, tetapi ke tangan Yahudi.

Ketika isu ini sedang hangat, filem Mat Kilau juga ditayangkan. Sebenarnya sudah seminggu ditayangkan. Dan beberapa hari lalu, agak tular berkenaan jalan ceritanya adalah satu perjuangan suci memartabatkan Islam. Jadi PAS dilihat sangat ke depan mendukung cerita sebegini agar diterbitkan dengan lebih banyak.

Ketua Pemuda PAS ditempelak kerana katanya cakap tidak serupa bikin. Dulu suruh haram, sekarang suruh menonton. Dengan beliau sekali masuk panggung. Tetapi bila disamakan dengan tindakan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) berkenaan pengharaman snooker yang mana boleh menjerumus kepada judi, kemudian beliau sendiri yang menolak bola snooker, pembenci PAS diam, tidak terkata. Sepertinya TGNA sebagai penghukum qate’i apa-apa permasalahan. Mendiamkan semua mulut pembenci PAS.

Duit tidak ada, ada bantuan yang kerajaan sediakan kepada mereka yang layak atas penarikan subsidi ini. Bagi Negeri Terengganu, beberapa karnival jualan murah telah diadakan dan ada yang masih berjalan sehingga kini. Begitulah yang dilakukan dan insya-Allah akan berlangsung lagi karnival jualan bagi membantu rakyat selepas ini.

Membincangkan soal kenaikan harga dari perspektif kenaikan kadar inflasi di seluruh dunia, perang Russia-Ukraine, banyak negara juga menarik subsidi kepada rakyat mereka atau seluruh dunia merasai kesan inflasi ini, bukan sesuatu yang rakyat mahu dengar. Yang mereka tahu, harga barang mesti turun, sebab kamu jadi kerajaan. Bagi sesetengahnya terlalu jauh dari kefahaman dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Mungkin juga benar sikap rakyat ini, kerana selagi ekonomi dikuasai oleh mereka yang halobanya tidak bertepi, selagi itulah rakyat akan menanggung sengsara jika kerajaan gagal mengawal kapitalis sebegini. Namun, tidak kurang juga, ada pihak yang membantu kapitalis-kapitalis ini. Oportunis-oportunis ini sangat pandai memperdaya. Itulah kerja dan kemahiran mereka. Kita semua berharap mereka ini akan dihapuskan.

Untuk yang menyokong PAS dan terpedaya dengan naratif pimpinan PAS sedang sibuk dengan Mat Kilau dan melupakan penderitaan rakyat, bacalah ini. Perjuangan Mat Kilau amat dekat dengan perjuangan PAS membela Islam. PAS teruja dengan filem sebegini kerana ia memberikan kredit kepada Islam dan semangat cintakan negara. Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital YB Ustaz Ariffin Deraman melihat adanya nilai kebudayaan di dalam filem ini.

Sekali gus juga nilai pelancongan kerana Mat Kilau mempunyai jalannya dari Pahang ke Hulu Dungun. Ustaz Dr Riduan Mohd Nor pula adalah dari Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat yang pastinya sangat berkait dengan portfolio yang dipegang beliau. Termasuk juga YB Ustaz Muhammad Khalil yang memaklumkan Mat Kilau pernah berteduh di pondok di Rusila kepunyaan datuk moyangnya. YB Wanita, Zuraida Md Noor juga gembira dengan penampilan pelakon wanita yang semuanya bertudung tiada sentuhan bukan mahram. Memartabatkan nilai wanita.

Sokongan ini adalah sokongan bagi cerita seperti ini, kerana benda yang baik untuk Islam, patut dipuji. PAS juga yang menyeru kepada filem yang lebih baik. Cumanya ia berlangsung semasa isu kenaikan harga barang berlaku. Bukan melupakan kesusahan rakyat. Itu hanyalah fitnah musuh. Buktinya karnival-karnival yang telah disebutkan untuk membantu rakyat sebelum dan ketika ini. Pastinya wakil PAS tidak akan membiarkan kesulitan rakyat ini dan pasti akan menolong rakyat. Tetapi harus juga bantuan yang masuk akal diminta, bukan yang tidak lojik.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 2/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -