Yadim perkukuh kefahaman akidah golongan muda

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan akan memperluaskan pendedahan bagi memperkukuhkan kefahaman akidah serta memupuk kekuatan jati diri golongan muda.

Pengarahnya Mahadi Awang berkata, program berkenaan membabitkan pelajar seawal usia sembilan tahun.

Katanya inisiatif tersebut melibatkan Kem Remaja Pintar Soleh (REPSOL), Program Remaja Soleh Solehah (RES2) dan Transformasi Orang Muda (TOM).

- Advertisement -

“Yadim menawarkan khidmat melalui konsultan yang dilantik di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya membabitkan pelajar yang kurang minat serta tiada motivasi.

“Tahun ini kita fokus kepada sekolah yang membuat permohonan kepada Yadim kemudian baru kita pertimbangkan untuk mengadakan program ke sekolah lain.

“Orang muda perlu didekati dengan hasrat kita untuk melestarikan dakwah bukan hanya tertumpu kepada golongan dewasa, orang awam tetapi juga golongan muda,” katanya selepas perasmian Majlis Penutup Kem Suluh IV Transformasi Orang Muda (TOM) di sini petang semalam.

Program terbabit diadakan selama tiga hari dua malam di Dewan Sri Pantai Resort Melawi dianjur bersama Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng.

Hadir sama pengetua sekolah terbabit Zakiah Zairani Mat Zin dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murdi (HEM) Azmi Mohd Nor.

RES2 melibatkan sekolah menengah, REPSOL pula membabitkan pelajar sekolah rendah yang diadakan setengah hari.

Mahadi berkata, TOM dirangka bagi menyantuni serta memperkasakan remaja supaya menjadi anggota masyarakat yang berguna serta mampu mengalas tanggungjawab penting dalam komuniti pada masa depan. – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -