Menteri Agama buat apa untuk kawal kandungan hiburan negara?

- Advertisement -

HIBURAN pada era ledakan internet ini semakin kreatif dan menarik. Perkembangan industri hiburan negara pula menyaksikan beberapa rancangan berkualiti yang sarat dengan pengajaran semakin mudah didapati.

Terbaru penghasilan filem pejuang bangsa dan agama Mat Kilau telah meletakkan satu tanda aras yang baharu terhadap filem tempatan, khususnya dari aspek pengajaran dan kualiti mesej yang hendak disampaikan.

Namun kita juga tidak dapat menafikan, di sana terdapat kandungan-kandungan yang tidak berkualiti lagi bercanggah dengan agama.

Kebiasaannya kandungan seperti ini datang dari orang luar negara, seperti filem animasi Buzz Lightyear yang diselitkan agenda Liberal luar tabii. 

Ada juga kandungan yang menghina kaum dan institusi negara seperti yang dibawa individu tertentu contohnya Namawee.

Maka melihatkan keadaan ini, pasti ramai yang tertanya, apakah usaha atau paling kurang pendirian Menteri Agama dari PAS berkenaan kandungan hiburan yang tidak sesuai dengan negara kita?

Apakah Menteri Agama tidak ada sarwa pandang yang luas dalam menyelaras pergerakan dan kedudukan agama dalam negara?

Sabar dahulu. Pihak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi menterinya YB Senator Dato’ Idris Ahmad telah menggerakkan usaha penyelarasan bersama agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Communication and Multimedia Content Forum Malaysia (CMCF).

Pertemuan bersama agensi berkaitan telah dijalankan bagi membincangkan perkara ini. Antara usaha yang telah berjalan adalah sesi perbincangan bersama Pengarah Eksekutif CMCF Mediha Mahmood yang telah mengunjungi pejabat Menteri Agama bagi membincangkan mengenai kod kandungan baharu yang disediakan CMCF untuk memastikan etika dalam kandungan agama yang disiarkan di dalam TV dan radio dipatuhi.

Kod baharu ini juga akan menjadi garis panduan bagi penyedia kandungan sama ada di TV atau radio agar tidak bercanggah dengan nilai agama, tidak melanggar batas agama dan mengawal kandungan melampau daripada dihidangkan kepada masyarakat.

YB Senator Dato’ Idris Ahmad juga memberikan penegasan bahawa kandungan yang dihidangkan masyarakat akan dipantau dari semasa ke semasa. Tidak cukup dengan itu, YB Senator turut mengajak kesemua pemegang taruh seperti influencer dan asatizah untuk turut memainkan peranan aktif dalam memantau perkara ini.

Komitmen yang dizahirkan pasukan Menteri Agama ini sedikit sebanyak melegakan kita akan hala tuju kandungan kreatif di negara. Paling kurang ada jaminan dan penegasan akan kawalan terhadap perkara ini.

Ini sedikit sebanyak menjadi bukti menteri dari PAS masih konsisten dengan agenda Islam. Tiada istilah u-turnatau lembik tengkuk sementelah memegang tampuk selaku kerajaan.

Kita doakan agar usaha memastikan kandungan kreatif negara terus berkembang secara sihat selari dengan syariat. Berhiburlah sesuai dengan fitrah dan arahan Allah.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -