Malaysia berjaya tonjol Islam agama selamat dan sejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perasaan terharu dan keterujaan yang cukup mendalam daripada hati yang sukar digambarkan oleh kata-kata dengan penganjuran Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi atas izin-Nya setelah pertemuan, perancangan dan perlaksaaan yang tersusun oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Rabitah Al–Alam Al-Islami (Muslim World League).

“Akhirnya, persidangan hari ini dapat dilaksanakan dengan penuh gemilang,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

- Advertisement -

Katanya, penekanan kepada nilai perpaduan, kasih sayang, kesederhanaan dan toleransi antara umat Islam dan masyarakat sangatlah penting dalam mengekalkan keharmonian sejagat.

Ini, ujar beliau bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

“Malaysia terpilih sebagai tuan rumah kerana walaupun mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa namun berjaya menonjolkan agama Islam sebagai agama yang harmoni, selamat dan sejahtera dalam menyatupadukan masyarakat seluruhnya,” katanya.

Menurutnya, apabila menyentuh berkenaan perpaduan dan kesederhanaan dalam Islam, ia mencakupi pelbagai aspek terutamanya untuk mencari titik persefahaman dalam menghadapi fahaman berpuak-puak, menolak ideologi ekstremis dan keganasan.

“Jurang-jurang yang ada perlu dirapatkan kembali agar kita dapat membina permuafakatan dan mengukuhkan kerjasama antara negara dan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berpendapat persidangan itu adalah platform yang berkesan dalam menemui solusi serta saling tukar idea dan pendapat melalui pengalaman untuk mencari penyelesaian Islam yang kompregensif.

Katanya, persidangan kali ini juga turut dihadiri oleh perwakilan daripada Kemboja, Maldives, Brunei, Australia, Bangladesh, India, Indonesia, Pakistan selain para mufti seluruh negara.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob petang semalam.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada JAKIM dan Muslim World League (Rabitah al-Alam al-Islami), yang bertindak sebagai penganjur persidangan bertemakan UNITY.

“Kita rasa berbangga dan bertuah kerana Muslim World League telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah persidangan, yang sudah tentu satu pengiktirafan kepada negara kita, yang menonjolkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, selamat dan sejahtera dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Beliau berkata, kehadiran perwakilan luar negara pada persidangan itu membuktikan keseriusan pihak penganjur dalam meningkatkan solidariti Islam dan ummah serta memainkan peranan mengharmonikan hubungan antara umat Islam dan pelbagai golongan masyarakat.

“Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam.

“Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -