Kedah ‘bangkit semula’ ambil ilmu tanam padi dari Vietnam

MADA usaha realisasi tanam padi 5 kali dua tahun

- Advertisement -

SAYA baru bercakap mengenai tanaman padi 5 kali dua tahun, Vietnam sudah tanam padi 3 kali setahun!

Di KLIA2 tadi saya sempat berjumpa rombongan YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi, ALP, CEO dan Pegawai MADA yang ke Vietnam melawat kawasan penanaman padi negara itu. Vietnam memiliki kawasan sawah padi yang sangat luas, lebih daripada 10 juta hektar. 

Luas kawasan MADA lebih kurang 130,282 hektar. 100,685 hektar adalah kawasan tanaman padi (82,968 hektar di Kedah dan 17,717 hektar di Perlis), sementara bakinya adalah tanah yang digunakan infrastruktur dan penempatan. 32,000 hektar lagi kawasan tanaman padi berada di luar kawasan MADA. 

Luas kawasan tanaman padi seluruh negara hanya sekitar 600,000 hektar – kurang daripada 6 peratus keluasan sawah Vietnam.

Di Vietnam tiada agensi kerajaan yang khusus seperti MADA, KADA, IADP dan lain-lain yang menguruskan petani padi.

Tiada sebarang subsidi diberikan, sama ada subsidi baja, benih, racun dan lain-lain. Semua input dan hasil adalah daripada petani.

Saliran disediakan oleh kerajaan pada peringkat permulaan dulu sahaja, selepas itu, penjagaan dan pembaikan sungai, parit saliran adalah tanggungjawab pesawah padi. 

Terusan di kawasan tanaman padi selain membekalkan air untuk tanaman, juga adalah highway utama untuk mengangkut padi ke kilang. Tidak ada mini tar di jalan ban. Tidak ada lori dan tidak ada broker lori. Kilang-kilang padi didirikan di pinggir sungai dan terusan.

Sebuah syarikat yang menjadi usahawan utama (payung) mengusahakan sejuta hektar sawah padi bersama pemilik sawah. Syarikat ini menguruskan tanaman seluas itu bersama para petani dengan membekalkan inputtanaman dan membeli padi daripada mereka. 

Petani di situ mendapat pendapatan yang cukup dan syarikat itu mendapat untung. 

Pada 1961, keluasan tanaman padi Vietnam adalah 4.6 juta hektar dan menghasilkan 8.6 juta tan padi.

Pada tahun 2007, luas keseluruhan kawasan tanaman padi Vietnam ialah 7.3 juta hektar yang menghasilkan 35.5 juta tan padi setahun.

Dalam tempoh 46 tahun, (1961-2007) keluasan tanaman padi Vietnam meningkat tidak sampai 2 kali ganda, tetapi hasil hasil padi melonjak lebih daripada 4 kali ganda.

Kini keluasan tanaman dan hasil padi semakin meningkat di seluruh Vietnam. 

80 peratus daripada 17.7 juta penduduk di Delta Sungai Mekong hidup sebagai penanam padi.

25 peratus hasil padi Vietnam untuk kegunaan domestik seluruh negara Vietnam dengan populasi 97 juta penduduk, 75 peratus lagi adalah untuk eksport. Kita juga membeli beras Vietnam.

Mereka tanam padi 3 kali setahun, menggunakan varieti benih yang cepat matang (kurang daripada 100 hari semusim). 

Kita tanam padi 2 kali setahun, ada benih subsidi, ada baja subsidi, ada racun dan lain-lain subsidi. 

Pada setiap musim isu benih subsidi tidak mencukupi akan muncul. Petani pun merungut dan kerajaan pun sibuk menyediakan jawapan. 

Pada setiap musim kita sediakan berbagai-bagai bantuan dan hasil sawah kita cuma 6 tan sehektar. Tiba-tiba banjir dan padi pun rebah. Bantuan pun ditagih dan diberi – RM300 sehektar!

Kita, jika tidak dapat subsidi padi, baja dan benih subsidi – tidak dapat bertanam padi lah pada musim itu.

Dengan adanya pelbagai subsidi, pendapatan petani dan hasil padi kita sepatutnya lebih tinggi. Semoga ilmu dari Vietnam yang diperolehi oleh MADA dapat membantu kita bangkit semula. Jom belajar dari Vietnam!

YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -