Bangsa kuasai ekonomi lebih dihormati

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Umat Islam atau sesuatu bangsa akan lebih dihormati apabila mampu menguasai sektor ekonomi.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dunia hari ini menilai kekuatan sesuatu bangsa dan agama dari sudut ekonomi, lapor Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA.

- Advertisement -

“Kekuatan dan penguasaan ekonomi bukan sahaja menjadikan bangsa dan agama itu dihormati malah digeruni,” katanya pada majlis ringkas di Masjid Fathoni, Pattani, selatan Thailand, hari ini.

Oleh itu beliau berharap umat Islam di mana sahaja perlu memberi fokus menguasai bidang ekonomi supaya lebih dihormati pihak lain.

Menurutnya martabat bangsa turut disanjung tinggi apabila mampu membangunkan anak bangsa di atas keupayaan sendiri.

Bagaimanapun kata beliau pemantapan akidah perlu seiring supaya menjadi benteng dan pegangan teguh terutamanya generasi akan datang.

Sanusi dalam rangka lawatan ke selatan Thailand menunaikan solat Jumaat di Masjid Fathoni, Pattani yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Dr Abdul Rahman Daud. – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -