600,000 ekar diberi milik untuk pembalakan, Husam menipu lagi?

- Advertisement -

SAYA cukup hairan dan merasa pelik dengan cara fikir Husam hari ini. Melalui tulisan dan ucapan ceramah beliau seolah hilang kredibiliti sebagai seorang bekas pemimpin, malah tersasar dari lojik minda waras. Beliau dilihat banyak menipu?

Mungkin betul juga sedemikian jika diteliti butir isu yang beliau utarakan tiada satu pun disambut oleh pimpinan PAN pusat atau negeri. Rakan saya saudara Hazmi, Ketua Pemuda PAN juga mengunci mulut, tidak menyambut kebanyakan ‘buah’ Husam.

600,000 ekar diberi milik untuk pembalakan suatu angka yang banyak dan tidak munasabah sekalipun untuk dibawakan sebagai tuduhan, apa lagi jauh dari kebenaran.

Kalaupun tidak menipu, barangkali Husam terlupa. Terlalu lama sendirian dan tidak terlibat dengan pentadbiran kerajaan, beliau lupa bagaimana pengurusan pembalakan dilakukan mengikut tatacara dan prosedur kerajaan?

Apakah beliau juga lupa pada terma Ladang Hutan yang diterima sejak dahulu semasa beliau dalam kerajaan sebagai projek penjagaan hutan simpan?

Betulkah memetik nama Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar hari ini untuk suatu keputusan dahulu dengan suatu angka terkumpul secara pukal?

Mana mungkin prosedur kerajaan diwujudkan semudah itu untuk menjual negeri? 

Pengurusan hutan yang terikat akta dan terkait undang-undang.

Apakah beliau seorang sahaja yang pandai mengurus hasil mahsul kerajaan?

Lupakah beliau dengan projek-projek beliau umumkan dahulu yang sebahagian besarnya ditanggung oleh kerajaan hari ini?

Paling dekat, lupakah beliau dengan penanaman bunga matahari pesisir tali air KADA, apakah wujud hasil?

Sudah-sudahlah. Sayugia sama-sama kita hidup dengan menerima kelebihan orang lain dan elakkan daripada menipu untuk kepentingan diri sendiri.

Salam hormat. 

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -