Terbitkan lebih banyak filem tokoh pejuang merdeka

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyarankan agar penerbit-penerbit filem tempatan memperbanyakkan lagi karya-karya filem yang mengangkat tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air. Sambutan hangat masyarakat terhadap filem ‘Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan’terbitan Studio Kembara arahan sutradara Syamsul Yusof merupakan satu tanda aras karya sebegini masih mendapat tempat di hati masyarakat masa kini.

Karya filem mempunyai pengaruh dan tarikan yang kuat serta mampu mencorakkan tingkah laku dan emosi masyarakat. Karya filem amat berguna dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada orang ramai. Dengan mengangkat tokoh pahlawan kemerdekaan ini di layar perak secara tidak langsung menyemai semangat jati diri dalam masyarakat pada hari ini. Malah, tarikan kekuatan ilmu agama yang diadun bersama semangat mempertahankan negara adalah elemen penting yang ditonjolkan melalui tokoh-tokoh berkenaan. 

Dewan Ulamak PAS Pusat mengharapkan agar filem ‘Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan’ ini menjadi katalis kepada perkembangan karya-karya filem yang memaparkan tema pejuang kemerdekaan negara pada era moden ini. Watak tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan antara lain seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut (Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas), Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam dan sebagainya.

Tambahan lagi, peranan Mat Kilau bersama dengan para ulamak seangkatan seharusnya dijadikan landasan positif bahawa perjuangan membebaskan umat adalah cetusan para ulamak sehingga semangat menentang penjajah menjadi teras utama sebelum disambut kelompok lain. 

Dewan Ulamak PAS Pusat yakin bahawa karya filem mengangkat tokoh perjuangan dan sejarah kebangsaan ini dapat memberikan mesej yang baik kepada masyarakat dan ia wajar mendapat sokongan semua pihak. Sudah sampai masanya negara dan rakyat mengangkat golongan pejuang ini sesuai dengan semangat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan kelak.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -