STAM: 31 calon YIK dapat mumtaz semua subjek

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Seramai 31 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperoleh keputusan mumtaz dalam semua mata pelajaran.

Maahad Muhammadi Lelaki muncul sebagai sekolah terbaik peperiksaan itu apabila memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.41 diikuti Maahad Muhammadi Perempuan (3.34) dan Maahad Pengajian Islam (MPI) 3.49.

Pengarah YIK Engku Rajhan Engku Ismail berkata, seramai 1,028 calon yang mendaftar di 24 pusat menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu.

- Advertisement -

Daripada jumlah itu, katanya, 106 calon atau 10.31 peratus memperolehi keputusan Jayyid Jiddan, 263 calon (25.58 peratus) jayyid; 63 calon (6.13 peratus) maqbul, dan 565 calon (54.96 peratus) mendapat rasib (gagal).

“Keputusan STAM 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 9.83 peratus berbanding tahun 2020,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan peperiksaan STAM Tahun 2021 di Kompleks YIK Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kemerosotan itu disebabkan kekangan pembelajaran ketika pandemik Covid-19, selain masalah peranti dan penggunaan internet dihadapi calon.

Menurutnya juga pencapaian gred purata peringkat YIK mencatat penurunan daripada 3.08 pada tahun 2020 kepada 3.55 pada tahun 2021.

Selain itu pencapaian lulus mengikut pangkat turut menunjukkan penurunan iaitu 45.04 peratus berbanding 54.87 peratus pada tahun lalu. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -