Presiden baharu Filipina: Marcos Jr angkat sumpah hari ini

Ferdinand Marcos Jr mengangkat sumpah sebagai presiden Filipina pada 30 Jun 2022. (FOTO AFP/Ted Aljibe)
- Advertisement -

MANILA: Anak lelaki kepada mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu negara itu pada hari ini (30 Jun), melengkapkan usaha berdekad lamanya untuk memulihkan nama keluarganya.

Terkenal dengan panggilan Bongbong, beliau memenangi pilihan raya pada bulan lalu dengan memperoleh kemenangan terbesar sejak bapanya, mendiang Ferdinand Marcos Sr digulingkan oleh pemberontakan pada tahun 1986.

- Advertisement -

“Anda tidak akan kecewa, jadi jangan takut,” katanya pada majlis rasmi pelantikannya di sini yang turut dihadiri ahli keluarganya.

“Ini adalah detik bersejarah bagi kita semua. Dengan undian anda semua (terhadap saya), anda menolak politik perpecahan,” tegasnya.

Dengan ibunya, Imelda yang berusia 92 tahun, duduk beberapa meter jauhnya, Marcos Jr turut memuji rejim mendiang bapanya, yang disifatkan oleh pengkritik sebagai tempoh gelap pelanggaran hak asasi manusia dan rasuah.

Marcos Jr (depan) dan Rodrigo Duterte (belakang) pada upacara perasmian pelantikan Presiden baharu Filipina Jr di perkarangan istana presiden Malacanang di Manila pada 30 Jun 2022. (FOTO AFP/Francis R Malasig, Pool)

“Saya pernah mengenali seorang lelaki yang melihat betapa sedikit pencapaian (Filipina) sejak merdeka… Dia berjaya mengatasinya,” kata Marcos Jr., mendakwa bapanya membina lebih banyak jalan raya dan menghasilkan lebih banyak produk penghasilan beras berbanding gabungan kesemua Presiden Filipina yang terdahulu daripadanya.

“Begitu juga dengan anaknya ini. Kamu tidak akan mendapat sebarang alasan daripada saya Jangan melihat ke belakang dalam kemarahan atau nostalgia,” ucapnya.

Marcos Jr (kiri) dan Duterte (dua dari kiri) pada upacaramemberi tabik hormat semasa upacara perasmian pelantikan Marcos sebagai Presiden baharu Filipina di pekarangan istana presiden Malacanang di Manila pada 30 Jun 2022. (Foto AFP)

Marcos Jr., 64, menggantikan Rodrigo Duterte yang telah meletakkan jawatan, yang sangat popular sebelum ini dengan tindakan radikalnya memerangi dadah di Filipina.

Menurut laporan AFP,  Marcos Jr. mengangkat sumpah pada tengah hari (0400 GMT) dalam upacara rasmi di Muzium Negara di Manila di hadapan ratusan pembesar tempatan dan asing, termasuk Naib Presiden China Wang Qishan dan Lelaki Kedua AS Douglas Emhoff, serta pihak media, dan turut dihadiri Duterte.

Lebih 15,000 anggota polis, tentera dan pengawal pantai telah dikerahkan di seluruh ibu negara untuk perasmian itu.

Ia berlaku beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak percubaan terakhir untuk membuat Marcos Jr hilang kelayakan daripada pilihan raya dan menghalangnya memegang jawatan.

Marcos Jr (kiri) ketika zaman kanak-kanak bersama mendiang bapanya, Marcos Sr. (FOTO WE THE PVBLIC)

Memandangkan kenaikan harga menghimpit ekonomi yang telah dilanda Covid-19, Marcos Jr telah menjadikan usaha menangani inflasi, meningkatkan pertumbuhan dan meningkatkan pengeluaran makanan sebagai keutamaannya.

Beliau telah mengambil langkah yang jarang berlaku dengan melantik dirinya sebagai setiausaha pertanian untuk mengetuai baik pulih sektor yang dilanda masalah.

Marcos Jr juga telah berjanji untuk mempertahankan hak Filipina ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang dituntut oleh Beijing hampir keseluruhannya.

Presiden baharu Filipina, Marcos Jr. bersama isteri dan tiga anaknya. ( FOTO Philipphine Newspaper)

Namun, dia telah memberikan sedikit perincian tentang bagaimana dia akan mencapai matlamatnya atau beberapa petunjuk tentang gaya kepimpinannya selepas sebahagian besarnya mengelak daripada wawancara dengan media.

Suami kepada peguam, Louise Araneta-Marcos dan bapa kepada tiga anak iaitu Sandro, Simon dan Vincent ini mempunyai ketrampilannya kelihatan lebih berhemah berbanding Duterte berdasarkan latar belakang pendidikannya.

Beliau mendapat  pendidikan awal tadika dan sekolah rendah masing-masing di Institucion Teresiana dan La Salle Greenhillsbdi Manila.

Disebabkan ibu bapanya mahu beliau membesar secara merendah diri tanpa dipengaruhi status keluarga, Marcos Jr dihantar  belajar  di gereja Benedictine, Worth School, England sebelum melanjutkan pengajian dengan memperoleh Diploma Khas Pengajian Sosial dari Universiti Oxford di England.

Marcos Jr berpengalaman selama lebih 25 tahun dalam perkhidmatan awam. (FOTO AP News)

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan di Pusat Pengajian Perniagaan Wharton di Universiti Pennsylvania di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).

Berpengalaman dalam perkhidmatan awam sejak lebih 25 tahun lepas, Marcos Jr mencatat perjalanan kerjaya yang luar biasa dalam kerajaan, selepas memegang pelbagai jawatan dalam cabang eksekutif dan legislatif di Filipina ini berjanji untuk ‘sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan’ dalam menguruskan kerajaan Filipina termasuk memulihkan sosio-ekonomi negara itu.

‘Sokongan’ awal terhadap kepimpinan beliau adalah apabila pengulas pro-Duterte, Rigoberto Tiglaobaru-baru ini menulis bahawa dia optimis untuk menyaksikan ‘ledakan ekonomi’ di bawah pimpinan Marcos Jr.

Tiglao merujuk kepada ahli akademik yang berjaya dalam pasukan ekonomi Marcos Jr dan sokongan individu-individu berpengaruh besar yang akan dapat memberikan bantuan terhadap Marcos Jr. dari segi nasihat dan sokongan kewangan. 

Ibu Marcos Jr, Imelda Marcos pernah menggemparkan dunia politik Filipina suatu ketika dahulu. (FOTO The Times)

Daya kepimpinan Marcos Jr mula diasah selepas keluarganya kembali daripada buangan pada 1992, yang mana dia mula berkhidmat sebagai anggota kongres di Daerah Kedua Ilocos Norte, yang antara tugasannya ialah bertanggungjawab menggubal undang-undang bagi mewujudkan Suruhanjaya Belia Filipina.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam perjuangan gerakan koperasi menggunakan kebanyakan Dana Pembangunan Luar Bandar (CDF) bagi  menguruskan koperasi untuk guru dan petani di wilayah pentadbirannya.

Marcos Jr. mempunyai ketrampilannya yang kelihatan lebih berhemah berbanding Duterte berdasarkan latar belakang pendidikannya. (FOTO Philnews.ph)

Marcos Jr kemudian diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai Gabenor Ilocos Norte selama tiga penggal antara 1998 hingga 2007, dan ia dibuktikan apabila  beliau mengubah kawasan itu menjadi wilayah kelas pertama yang diiktiraf antarabangsa, dengan mengetengahkan destinasi semula jadi dan kebudayaan.

Menjelang 2007, beliau sekali lagi dipilih sebagai anggota Kongres dan dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Ketua Minoriti di Dewan Perwakilan Filipina, yang mana beliau merupakan antara  individu yang turut menggubal Undang-Undang Garis Asas Kepulauan Filipina.

Pada 2010, Marcos Jr  menang kerusi dalam Senat Filipina selepas berada di kedudukan ketujuh, yang mana pada ketika itu, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Senat bagi Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa bagi Kerja Awam. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -