PAS taja pengajian tahfiz tiga anak Bob Lokman

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: PAS tampil membuat sumbangan penajaan bagi menanggung kos persekolahan dan pengajian tahfiz  di Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut di Kampung Alor Belanga, Alor Keladi, Besut, Terengganu buat tiga orang anak Bob Lokman yang terdiri daripada dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuannya.

Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PAS, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, keadaan Bob Lokman yang ketika ini dilanda masalah kesihatan sentiasa dipantau dan diziarahi oleh rakan-rakan untuk memastikan masalah kewangan beliau dapat diselesaikan dan dibantu.

- Advertisement -

Menurut beliau, kawan-kawan  dalam LESTARI mengambil berat tentang keadaan Bob Lokman yang mana dalam minggu ini sahaja telah tiga kali mereka menziarahi Bob Lokman dan memberikan sumbangan untuk kos perubatan dan menampung sara hidup beliau yang menyewa rumah di Kubang Kerian Kelantan.

“PAS sangat menghargai Bob Lokman kerana sejak mula berhijrah pada tahun 2008, beliau tidak pernah berhenti untuk memberikan pelbagai program kepada PAS terutama dalam medium seni dan budaya.

“Semenjak berhijrah daripada alam selebriti, beliau terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman. Beliau  juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk menyokong PAS seterusnya berhijrah ke alam fitrah,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Dr Riduan (kanan) ketika hadir menziarahi Bob Lokman di kediamannya baru-baru ini.

Menurutnya, semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan sedikit sebanyak menyebabkan kondisi ekonomi beliau juga terjejas.

Tambahnya, Bob sering membantu mengutip dana bagi membina maahad,surau, selain membantu orang lain yang ditimpa kesusahan maka tak pelik jika beliau disayangi oleh ramai insan lain.

“Beliau pernah menjadi Timbalan Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PUSAT selama tiga sesi,”ujar Dr. Riduan yang juga merupakan AJK PAS Pusat.

Menurutnya lagi, Bob sangat aktif menyertai pelbagai program walaupun terpaksa mengusung tangki oksigen ke pulau-pulau terpencil, kawasan pedalaman, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) , Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) , dan dia tak mudah putus asa kerana dirinya telah diwakafkan untuk perjuangan dan dakwah. 

Selain itu katanya, rumah beliau sebelum ini di Sungai Buluh, Selangor sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim. 

Sebelum dilanda masalah kesihatan, Bob Lokman sering membantu mengutip dana bagi membina maahad, surau, selain membantu orang lain yang ditimpa kesusahan.

“Namun sekarang ini, Bob sudah berpindah dari Sungai Buloh ke Kubang Kerian, Kelantan iaitu kampung halaman tercintanya sendiri dan menampung kehidupan sehariannya dengan berniaga serunding,” ujarnya.

Bob yang merupakan alumni Maahad Hamidiah Kajang pernah membesar di Pondok Tok kenali Kubang Kerian. Beliau juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. 

Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum Ustaz Mawardi Ahmad, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Lundang.

Namanya tetap mengungguli pentas ceramah PAS, berbekal bakat di bidang pengacaraan yang beliau sudah puluhan tahun ceburi selama ini. 

Beliau tidak bercita-cita untuk menjadi anggota Legislatif atau berniat menjadi pimpinan malah gerak kerja beliau dipacu untuk meraih pahala dan menjaga keikhlasan. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -