Gadis berniqab tekad jadi jurulatih sukan memanah berkuda

Nur Syahidah (kanan) dan ibunya, Faizah sama-sama mempunyai minat dan azam yang kuat dalam bidang sukan memanah berkuda. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita dalam sukan memanah berkuda di Malaysia masih didominasi golongan lelaki sehingga menyebabkan kalangan wanita khususnya Muslimah kurang selesa untuk menceburi bidang ini kerana perlu menjalani latihan dengan jurulatih lelaki.

Namun, ia tidak menjadi penghalang buat seorang gadis, Nur Syahidah Mizan, 32, yang sebaliknya tekad berazam ingin menjadi menjadi jurulatih memanah berkuda wanita suatu hari nanti; seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada golongan Muslimah bagi memudahkan urusan dari segi pergaulan dan keselesaan dalam menjayakan sukan ekstrem itu.

- Advertisement -

Gadis berniqab ini menjadikan dua pahlawan mujahidah legenda dalam sejarah agung dunia Islam, Khaulah Al Azwar (pahlawan wanita serba hitam) dan Safiyyah Abdul Mutalib (pahlawan wanita pertama membunuh musuh Islam) sebagai sumber inspirasi dirinya.

Katanya, perkara utama yang mendorong minatnya untuk menyertai sukan memanah berkuda adalah kerana sejak sekolah lagi dia meminati subjek sejarah dan sirah iaitu kisah para nabi, para sahabat nabi, dan mujahiddah Islam ketika berperang yang jelas sekali menaikkan semangat juang dalam dirinya.

Nur Syahidah tangkas dan penuh jitu ketika menyertai pertandingan memanah berkuda. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

“Sebelum ini, saya menyertai pertandingan Liga Memanah Berkuda (LMB) Malaysia 2022, di Cape Cavallho, Rembau, Negeri Sembilan dan muncul sebagai satu-satunya peserta yang memakai niqab, yang mana saya merupakan antara empat orang peserta perempuan daripada 30 orang peserta lelaki.

“Pada masa akan datang, saya akan menyertai karnival yang julung-julung kali diadakan pertandingan memanah berkuda,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di sini, hari ini. 

Sukan memanah berkuda semakin diminati ramai rakyat Malaysia. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

Menurutnya, dia akan terus berusaha dan mengembangkan lagi bakatnya untuk terus mara ke hadapan dalam sukan memanah berkuda kerana ia merupakan antara sukan sunnah yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Nur Syahidah yang merupakan graduan Ijazah dalam bidang Fiqh wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan berkata, sepanjang penglibatannya dalam sukan memanah berkuda, masih tiada lagi halangan untuk mana-mana  individu menutup aurat berbanding sukan-sukan lain dan dia menyarankan agar sesiapa yang menyertai sukan ini  meneruskan pemakaian Muslimah.

Katanya lagi, setiap perkara yang dilakukan mestilah mempunyai matlamat dan azam, justeru dia meletakkan matlamat untuk menjadi jurulatih memanah berkuda pada suatu hari nanti.

Sukan ekstrem ini memerlukan samangat yang jitu, azam yang kuat dan paling penting ikatan jalinan dengan kuda agar ia selesa untuk ditunggang tanpa mendatangkan risiko bahaya. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Sambil memberikan nasihat kepada individu yang mempunyai minat menceburi sukan ekstrem itu, dia berkata, semua yang berminat bermula dengan tiada pengalaman, jadi tiada masalah bagi individu yang berminat tetapi tidak mempunyai pengalaman dan kekangan.

“Sama juga seperti saya. Saya sebenarnya takut dengan haiwan. Namun apabila saya mula merasakan ‘feel’ yang sangat seronok apabila menaiki kuda, ia menyebabkan saya terus melibatkan diri dalam sukan memanah ini,” jelasnya yang sebelum ini merupakan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Syahidah berkata, tawakkal pada Allah SWT,  keberanian, ketangkasan,  keyakinan dalam memimpin (menguasai) kuda terutama dari segi jalinan ikatan (atau bonding) antara penunggang dengan kuda perlu kukuh dan kuat. 

Latihan memanah amat diperlukan oleh individu sebelum menceburi sukan memanah berkuda. (FOTO DARIPADA VIDEO IHSAN FAIZAH LATIFF)

“Perkara ini sama seperti orang yang sedang berperang yang memang mempunyai keberanian yang tinggi, keyakinan, fokus dan banyak sifat-sifat positif perlu ada bagi penunggang kuda dan bukan sekadar menunggang kuda.

“Fokus yang tinggi sangat diperlukan terutamanya ketika memanah dalam keadaan kuda yang laju. Kepantasan dan ketangkasan juga diperlukan ketika aktiviti sukan memanah berkuda ini,”jelasnya.

Mengulas lanjut, Syahidah menjelaskan salah satu cara untuk mengatasi panik ketika memanah berkuda ialah hendaklah sentiasa berselawat, banyakkan bacakan doa menaiki kenderaan dan doa-doa memohon Allah SWT memudahkan urusan dan amalan ini hendaklah dipraktikkan setiap hari tidak kira ketika latihan mahu pun pertandingan.

Selain itu katanya, hubungan  dengan Allah SWT perlu kuat bagi memimpin kuda kerana kuda merupakan makhluk Allah SWT. 

Sukan memanah berkuda di Malaysia ketika ini masih didominasi golongan lelaki. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

Sehubungan itu menurutnya, bagi orang ramai yang berminat, boleh terus datang ke mana-mana pusat latihan (atau stable) kuda, dan bersua dengan haiwan ini bagi membiasakan diri atau pun sekadar mengusap badannya bagi menjalinkan ikatan dengan kuda yang akan melahirkan rasa keyakinan diri dan ikatan yang rapat dengannya.

Selain itu ujar Nur Syuhadah, pendorong utama minatnya dalam sukan memanah berkuda ini ialah ibunya, Faizah Latiff yang juga sangat aktif dalam sukan ekstrem ini  sejak 2013 sehingga sekarang; dan ibunya sering membawanya berlatih dan menyertai pelbagai pertandingan sukan memanah berkuda di serata Malaysia.

Sementara itu Faizah berkata, antara tempat untuk menjalani sesi latihan aktiviti sukan memanah berkuda ini ialah di Rubinga Equestrian Park Gombak; Rahman Putra Equine Centre (RPEC), Sungai Buloh,; MAEPS Rubinga Equestrian Center, Seri Kembangan, dan beberapa tempat lagi yang sesuai untuk aktiviti sukan ini.

Jalinan ikatan antara penunggang dengan kuda perlu kukuh dan kuat sebelum penunggang mampu memimpin kuda yang ditungganinya.  (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Katanya, bukan semua tempat sesuai untuk sukan memanah berkuda ini kerana mengikut jenis-jenis tempat yang bersesuaian kerana ada yang hanya sesuai untuk menunggang kuda dan bukan untuk aktiviti memanah berkuda.

“Tempat  latihan terbaik bagi saya dan anak saya untuk mengadakan latihan sukan memanah berkuda adalah di Kem Covahole Rembau kerana pelbagai pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan diadakan di situ.

“Ia merupakan tempat yang bagus untuk latihan disebabkan terdapat lebih daripada 50 ekor kuda di situ bagi untuk membiasakan anak saya dengan latihan bagi mengelakkan rasa janggal ketika menunggang kuda,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -