Menteri Agama contohkan Mat Kilau sebagai filem ‘amal jariah’

- Advertisement -

RATA-rata anak seni merasa bangga dengan naskhah terbaru karya Syamsul Yusof biarpun bukan semua artis tanah air terlibat dalam filem ‘box office‘ ini. 

Apatah lagi para pelakon yang membintangi filem itu sendiri, justeru secara tiba-tiba dalam minggu ini semua mata dan lensa kamera menyorot kelibat dan wajah mereka di mana sahaja.

Setelah sekian lama industri filem tanah air tidak bergegar sebegini, akhirnya pasca 2 tahun lebih pandemik, filem Mat Kilau menjadi kebanggaan semua. Tahniah pada penerbit, tim produksi, pengarah, pelakon, FINAS dan semuanya.

Tidak terkecuali adalah Menteri Agama, YB Datuk Ustaz Haji Idris Haji Ahmad yang menambah ceria, mengelola pertemuan yang amat bagus pada hari ini bersama pasukan Studio Kembara, penerbit Mat Kilau ke pejabatnya. Tanpa usaha gigih dan kesungguhan mereka, ‘the million dollar film’ sudah pasti sukar dijayakan.

Hari ini sudah lebih daripada RM20 juta nilai kutipannya. Ia jauh meninggalkan filem dan genre Eropah, Korea dan filem tempatan lainnya. Ia menerobos minat dan rasa ingin menonton dalam jiwa setiap rakyat negara kita. 

Biarpun ada yang pulang bercerita kepada sahabat handai, tetapi ia sedikit pun tidak menjadi ‘spoiler’ seperti filem Barat sebelum ini. Masing-masing yang mendengar kehebatan cerita ini, akan juga menontonnya dengan asyik.

Ustaz Idris Ahmad turut berharap agar Mat Kilau menjadi contoh dalam industri perfileman negara di mana menurutnya filem yang baik, akan menjadi amal jariah kepada penerbit, pengarah filem, pelakon serta krew produksi dan seluruh terlibat. Itu asasnya.

Pujiannya itu mungkin tidak menjadi ‘headline’ kepada mana-mana media, tetapi ia cukup besar bagi setiap diri yang memahami tujuan penciptaannya sebagai hamba Allah S.W.T. Segala di dunia ini nantinya ada ganjaran atau pembalasan di akhirat menentukan hidup di negeri abadi.

Pada yang tidak dipuji, diam itu terserah pada tafsiran menurut ilmu bersandar al-Quran dan as-Sunnah. Tapi jika ada yang ditegur menjelaskan larangan dan tegahan, nasihat itu usah pula diingkari. Kerana jika difahami, tentu di sana ada ‘maksiat jariah’ untuk dijauhi.

Khalayak penonton termasuk YB Menteri sendiri mengakui Mat Kilau telah membangkit semangat jati diri Islam. Ia menyajikan unsur-unsur nasihat, ikatan ukhuwah serta persaudaraan, persahabatan yang kuat dan membawa mesej dakwah kepada masyarakat.

Kehadiran Tuan Haji Abdul Rahman Mat Dali, Pengarah Urusan Studio Kembara dan seluruh teman-teman selaku penerbit filem Mat Kilau ke pejabat YB Menteri adalah suatu permulaan yang amat baik dan boleh dicontohi oleh para penerbit yang lainnya.

Sudah pasti banyak perbincangan dan sumbang saran yang mampu terjana antara pihak kerajaan dan penghasil karya seni dalam negara jika hubungan mesra dan strategik ini terjalin sentiasa.

YB Ustaz Idris juga dalam hantaran Facebook beliau usai pertemuan dengan penerbit, mengucapkan tahniah buat Saudara Syamsul Yusof selaku pengarah, seluruh barisan pelakon dan warga produksi filem Mat Kilau. Sehingga kini para warganet banyak memuji karya seni yang diarahkan oleh Syamsul yang sentiasa tidak mengecewakan peminat.

Satu berita gembira juga disebut oleh YB Menteri iaitu pemakluman bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Majlis Anugerah Media Islam pada Januari 2023. JAKIM telah dipilih untuk menjadi sekretariat bagi majlis penyampaian anugerah ini yang akan mengiktiraf karya-karya kreatif berunsurkan Islam.

Justeru, dengan sokongan dan semangat yang diberikan oleh kerajaan ini, para penerbit, pengarah dan anak seni diharapkan terus menghasilkan naskhah yang baik serta bermanfaat kepada masyarakat dan umat Islam. 

Biar kita yang mulakan. Hasil seni itu biar mampu menjentik hati dan sanubari umat. Di situ mahalnya karya kita nanti.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -