Lagi bandar baharu muncul di Kelantan

- Advertisement -

BACHOK: Kelantan semakin rancak dilanda arus pembangunan apabila muncul banyak bandar baharu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tempatan.

Bandar baharu yang dibangunkan muncul tidak jauh daripada bandar lama sehingga muncul banyak bandar berkembar termasuk di Pasir Puteh, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Dan terbaru Bandar Baru Jelawat yang berkeluasan 22.7 ekar dijangka dibuka 26 Julai ini mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada 1,500 penduduk tempatan.

Penduduk tempatan berpeluang berniaga di tempat yang lebih selesa dan lengkap dengan segala kemudahan berbanding Pekan Jelawat.

- Advertisement -

Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir berkata, Bandar Baru Jelawat bakal memacu pembangunan ekonomi dan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, mereka berpeluang berniaga secara kecil-kecilan, penjaja dan bekerja di gedung-gedung perniagaan serta pejabat yang akan beroperasi di situ.

“Bandar baharu tersebut terletak di lokasi lebih strategik di laluan ke Tok Bali dan saiz yang lebih luas berbanding pekan Jelawat sekarang,” katanya kepada UPKN.

Menurutnya juga Pasar Siti Aisyah di Pekan Jelawat akan dikekalkan di lokasi lama bagi memberi pilihan kepada peniaga sedia ada berniaga.

Oleh itu beliau merakam penghargaan kepada kerajaan negeri, Majlis Daerah Bachok dan pemaju yang terbabit membangunkan Bandar Baharu Jelawat.

Bandar baharu tersebut turut dilengkapi stesen bas, Pasaraya Pantai Timur, klinik, farmasi, pusat hemodialisis, surau dan pelbagai lagi.

Manakala pembinaan pasar awam dua tingkat dijangka siap September hadapan mampu menyediakan 366 gerai kepada peniaga tempatan.

Sehingga sekarang beberapa premis perniagaan beroperasi di Bandar Baharu Jelawat termasuk KB Brewster, Happy Home dan Kedai Pakaian MM.

Bachok juga mempunyai bandar baharu di Beris Kubur Besar. Manakala bandar lama Bachok berhampiran Pantai Irama juga turut berkembang dengan kemunculan banyak bangunan perniagaan dan bank. – UPKN